40 keluarga terima sumbangan raya - Utusan Malaysia

40 keluarga terima sumbangan raya

SHAMSUL Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kotak makanan Program Prihatin Aidiladha TNBJ 1442H di Teluk Muroh, Lumut hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT : Seramai 40 keluarga kurang berkemampuan di kawasan Teluk Muroh di sini bersyukur  apabila menerima bantuan barangan keperluan bagi menyambut Hari Raya Aidiladha Selasa ini.

Mereka menerima seperti seekor ayam mentah, paket nasi impit, kacang tanah, minyak masak, cili kering dan pelbagai barangan keperluan memasak juadah hari raya.

Ia disumbangkan oleh TNB Janamanjung Sdn Bhd, Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (TNBJ) menerusi Program Prihatin Aidiladha TNBJ 1442 Hijrah dengan kerjasama Komuniti Teluk Muroh di Teluk Muroh hari ini.

Pengarah Urusan TNBJ, Datuk Shamsul Ahmad berkata, selain golongan kurang berkemampuan, bantuan itu turut diberikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), mualaf, ibu tunggal dan mereka yang kehilangan pekerjaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami berharap sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat memberi keceriaan kepada mereka dalam menyambut Aidiladha tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada program tersebut.

Menurut Shamsul, sebelum ini pihaknya turut memberi sumbangan barangan keperluan makanan kepada kira-kira 500 orang di sekitar daerah Manjung menerusi Program Tabung PKPD bernilai RM30,000 hasil sumbangan kakitangan TNBJ dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Salah seorang penerima bantuan, Zuraida Shariff, 41, bersyukur menerima bantuan tersebut sekurang-kurangnya memberi peluang beliau dan dua anaknya memasak juadah hari raya.

Ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu kedai dengan gaji harian itu berkata bersyukur sekarang sudah boleh bekerja semula bagi menanggung keluarganya.

Sebelum ini dia agak tertekan tidak dapat bekerja ketika kawasan tempat tinggalnya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dan kewujudan Kluster Teluk Muroh Covid-19.

Seorang lagi penerima, Rosnita Othman, 47, berkata, sebelum ini dia tidak memikirkan tentang sambutan Aidiladha kerana suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan hanya memperolehi pendapatan RM1,100 setahun.

“Dengan gaji sebanyak itu digunakan untuk membayar sewa rumah, bil utiliti dan belanja harian,” jelasnya yang tidak bekerja kerana menjaga dua anaknya yang juga OKU. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN