150,000 cucuk Satay Keluarga laris di Aidiladha - Utusan Malaysia

150,000 cucuk Satay Keluarga laris di Aidiladha

FADRUL Azmil Jamalluddin (kanan) bersama tiga pekerjanya sibuk menyiapkan tempahan sate sempena Hari Raya Aidiladha di kedai Satay Keluarga di Cukai, Kemaman hari ini. - NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Pengusaha kedai sate terkenal di daerah ini sejak 1963 tidak menang tangan menyiapkan tempahan lebih 150,000 cucuk hidangan itu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Pengurus Satay Keluarga, Fadrul Azmil Jamalluddin, 31, berkata, jumlah tempahan itu membabitkan keseluruhan lapan cawangan dengan enam di Kemaman manakala dua lagi di Kuantan, Pahang.

Katanya, sambutan luar jangkaan terhadap sate turun-temurun yang dijual keluarganya itu sama sekali tidak diduga terutama ketika negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setiap kali Aidiladha, tempahan yang diterima lebih 300,000 cucuk sate. Walaupun jualan merosot, kita tetap bersyukur dengan rezeki ini.

“Keistimewaan Satay Keluarga adalah kerana kita menggunakan rempah istimewa hasil air tangan arwah datuk, Mat Nong Sulong selama hampir 60 tahun lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedainya di Cukai, di sini.

Menurut Fadrul Azmil, harga untuk 100 cucuk sate ayam ialah RM70 dan daging (RM90) manakala bagi jenis mentah pula antara RM67 hingga RM87.

Katanya, selain khidmat 30 pekerja tetap, mereka mengupah seramai 20 ibu tunggal dan suri rumah di sekitar Kampung Bukit Kuang untuk kerja-kerja mencucuk sate.

“Menerusi inisiatif ini, sekurang-kurangnya kami dapat berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan bantuan terutama mereka yang terkesan dengan Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN