PETALING JAYA: Wakil rakyat daripada pelbagai parti politik bersedia elaun mereka dipotong sebanyak 30 peratus untuk disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana yang dianggap langkah terbaik membantu meringankan beban rakyat yang terkesan Covid-19.
Selain elaun, mereka juga bersedia memotong gaji bulanan untuk akaun berkenaan sebagai menyahut seruan kerajaan Pusat dan beberapa pihak sebagai tanda solidariti.
Di ARAU, Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, sebagai wakil rakyat, beliau turut bersetuju dan bersedia jika pemotongan tersebut dilaksanakan.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu, pemotongan sekitar 30 peratus elaun wakil rakyat adalah sekitar RM4,000.
“Saya bersetuju dan tidak mempunyai masalah dengan cadangan tersebut (potongan elaun wakil rakyat). Dalam suasana sekarang, semua orang perlu melakukan pengorbanan dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
ADUN Indera Kayangan dari PKR, Gan Ay Ling juga tidak mempunyai masalah menyumbang kepada tabung Akaun Amanah Bencana demi kepentingan rakyat akibat Covid-19.
“Secara peribadi saya tidak ada masalah mengenai pemotongan elaun wakil rakyat itu dan bersetuju. Malah, kami di peringkat DUN juga sering membantu mereka yang memerlukan itu termasuk yang terkesan akibat Covid-19.
“Wakil-wakil rakyat lain saya tidak pasti, tetapi bagi saya, saya bersetuju dengan cadangan pemotongan tersebut,” katanya.
ADUN Simpang Empat dari Barisan Nasional (BN) yang juga Exco Perlis, Nurulhisham Yaakob turut senada dan bersedia memotong elaunnya untuk tabung berkenaan.
“Malah secara peribadi kami wakil-wakil telah memberi sumbangan sebelum ini dan jika diwajibkan potongan elaun itu, kami tidak ada masalah,” katanya.
Di ALOR SETAR, dua ADUN UMNO (BN) menyatakan kesediaan membantu golongan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dengan memotong elaun wakil rakyat masing-masing.
Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama beberapa ADUN kerajaan serta barisan Exco kerajaan negeri yang lain.
“Sebagai ADUN kerajaan dan Exco, memang ada perbincangan mengenainya. Insya-Allah akan ada pengumuman selepas ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd. Azam Abd. Samat pula memberitahu, kesemua 15 ADUN Pas Kedah bersetuju menyumbang 70 peratus daripada gaji mereka pada bulan ini bagi membantu golongan yang terkesan dengan Covid-19.
Katanya, sebanyak 50 peratus daripada sumbangan itu disalurkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) manakala 20 peratus akan disumbangkan kepada Tabung Bencana Covid-19 yang dilancarkan Pas Pusat.
Sementara itu ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd. Noor berkata, pemotongan elaun tersebut bukanlah sesuatu yang baharu baginya kerana elaun sedia ada telah dipotong sejak pelaksanaan PKP 1.0 lagi, pada Mac tahun lepas.
“Secara peribadi, saya tak ada masalah berbuat demikian demi membantu golongan memerlukan. Selama ini pun memang kita buat demikian cumanya tidaklah diumumkan di mana-mana,” katanya.
Di IPOH, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengumumkan pemotongan gaji yang diperolehnya selama tiga bulan untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana Covid-19.
Menurut Saarani, pemotongan gaji selama tiga bulan itu juga turut melibatkan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
“Alhamdulillah, hasil keputusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini, saya bersama 10 lagi Exco bersetuju untuk sumbangkan gaji masing-masing selama tiga bulan.
“Potongan gaji ini untuk kita sumbangkan kepada tabung bencana Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian di sini semalam.
Saarani juga turut mengumumkan Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak pada hari ini meluluskan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera bernilai RM19.5 juta.
Di SEREMBAN, kerajaan Negeri Sembilan akan menyediakan peruntukan kewangan sejumlah RM10 juta bagi membantu masyarakat di negeri ini yang terkesan dengan penularan Covid-19 termasuk ekoran pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh, bermula semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam yang dipengerusikan beliau.
Mengenai pemotongan elaun wakil rakyat, Aminuddin menjelaskan, kerajaan negeri lebih awal melakukan perkara tersebut. – UTUSAN











