PETALING JAYA: Kepincangan sistem pendidikan yang tidak mempunyai strategi yang baik dalam negara lahir kebimbangan tentang masa depan pelajar-pelajar yang terpaksa menjalani sesi pembelajaran yang berbeza ketika pandemik.
Dalam satu kenyataan media, Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanahair (Pejuang Tanahair), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, Kementerian Pendidikan harus beri perhatian kepada sistem pendidikan anak-anak di Malaysia termasuk pendidikan prasekolah.
“Sistem pendidikan negara memerlukan kepada satu transformasi yang menyeluruh dalam menghadapi perubahan norma baru dengan pendekatan baru dan melihat pendidikan dari sudut pandang pembangunan insan dalam membina generasi yang mempunyai daya tahan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran global di masa hadapan.
“Keupayaan teknologi perlu dimaksimumkan sebagai alat penyampai pembelajaran digital dengan meletakkan pembangunan murid menjadi insan yang berguna dengan nilai-nilai kemanusiaan yang baik, seimbang dari sudut keupayaan akademik, kestabilan emosi dan pembangunan kerohaniannya sebagai matlamat utama,” katanya dalam kenyataan itu.
Semenjak sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan pelbagai permasalahan telah mula dihadapi oleh anak-anak dan ibubapa yang terpaksa mengendalikan anak-anak mereka melalui PdPR.
Pelbagai kekangan yang masih belum mendapat penyelesaian termasuk masalah tidak cukup peranti, tiada talian, tiada ruang belajar yang sesuai, kebosanan dan kurang tumpuan dalam kalangan pelajar.
Che Asmah menyuarakan kebimbangannya memikirkan PdPR yang dijangka akan diteruskan sehingga bulan September mengikut jangka masa rangka kerja Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan tanpa sebarang strategi pemulihan sebenarnya.
Dalam masa ini, pihak bertanggungjawab sepatutnya lebih peka dan terbuka untuk pandang sistem negara-negara maju yang berjaya melaksanakan sesi pembelajaran secara virtual.
“Pandemik Covid-19 memberi peluang kepada negara membuat satu ‘reset’ secara keseluruhan kepada sistem pendidikan negara dengan meletakkan mereka yang berintegriti dan kompeten menerajui bidang ini.
“Pengalaman dari usahawan pendidikan swasta juga perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam merangka pembangunan sistem pendidikan yang baik untuk generasi masa depan negara. Sistem pendidikan negara- negara membangun yang lain seperti dari negara Scandinavian perlu diambil sebagai rujukan agar Malaysia tidak terus ketinggalan,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE










