CHALON-SUR-SAONE: Raja pecut Tour de France, Tim Merlier mengakui dia kini hanya mahu bertahan di Grand Boucle selepas meraih kemenangan peringkat ketiga saingan, semalam.
Pelumba Belgium berusia 33 tahun itu sekali lagi membuktikan dirinya sebagai pelumba pecut terpantas di dunia apabila meraih kemenangan peringkat keenam keseluruhannya di Tour de France, selepas menang sekali pada 2021 dan dua kali tahun lalu.
Namun, memandangkan tiada lagi peringkat yang jelas sesuai untuk pelumba pecut dalam edisi ke-113 Tour de France tahun ini, Merlier kini hanya mahu memastikan dirinya berjaya menamatkan perlumbaan di Paris di laluan ikonik Champs-Elysees.
“Saya hanya mahu bertahan, mungkin itu sasaran saya sekarang.
“Semua pelumba mahu sampai ke Paris. Jika anda sudah mengalah dari segi mental, anda tidak akan berjaya menamatkan perlumbaan. Namun, jika masih mampu mengikut kumpulan grupetto, peluang untuk sampai ke garisan penamat lebih cerah,” katanya.
Dalam pada itu, Merlier turut mengesahkan tidak lagi meletakkan sasaran untuk memburu jersi hijau selaku juara mata keseluruhan.
Walaupun sudah memenangi tiga peringkat, beliau masih menghuni tangga keempat carta mata dan ketinggalan 50 mata di belakang pendahulu, Mads Pedersen.
Menurut Merlier, memburu mata di zon pecut pertengahan bukan lagi pilihan kerana ia boleh menjejaskan tenaganya sebelum mengharungi laluan pergunungan.
“Jika anda memaksa diri untuk mengejar mata sebelum pendakian sebenar, anda boleh kehabisan tenaga.
“Tahun lalu saya masih berada dalam kelompok teratas bagi perebutan jersi hijau, tetapi saya memilih untuk tidak memecut kerana jika terlalu memaksa diri, kemungkinan besar anda tidak mampu meneruskan perlumbaan.
“Jadi, jersi hijau bukan lagi sasaran saya,” katanya. – AFP










