PETALING JAYA: Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui skuad kebangsaan sedang berlumba dengan masa bagi memastikan pasukan berada pada tahap terbaik menjelang kempen Piala ASEAN 2026 yang bakal membuka tirainya dalam tempoh kurang dua minggu lagi.
Dengan hanya sembilan hingga 10 hari untuk melakukan persiapan rapi, Cheng Hoe menyifatkan tempoh yang singkat itu sebagai cabaran terbesar buat barisan kejurulatihan dalam usaha membentuk sebuah pasukan yang mantap dan mampu bersaing di pentas Asia Tenggara itu.
Menurut beliau, fokus utama ketika ini adalah memastikan semua pemain dapat menyesuaikan diri dengan cepat serta membina keserasian sebagai sebuah pasukan yang mampu beraksi mengikut identiti permainan yang ingin diterapkan.
“Tempoh yang ada memang sangat singkat dan ia menjadi satu cabaran besar kepada kami. Barisan jurulatih perlu memberi tumpuan sepenuhnya untuk memastikan setiap pemain dapat digabungkan menjadi satu pasukan yang kuat.
“Pada masa sama, ramai pemain masih belum mencapai tahap kecergasan dan prestasi terbaik mereka, jadi kami perlu memantau perkembangan mereka setiap hari,” katanya pada sesi latihan pertama skuad kebangsaan, semalam.
Menurut bekas jurulatih Kedah dan Selangor itu, selain aspek kecergasan, pasukan kejurulatihan turut memberi penekanan kepada aspek taktikal, struktur permainan serta pemahaman pemain terhadap peranan masing-masing di atas padang.
Beliau turut mengingatkan pemain supaya memberi fokus yang tinggi kerana peluang mewakili negara di pentas antarabangsa perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan prestasi dan mengembangkan kerjaya mereka.
Skuad kebangsaan dijadual memulakan cabaran Kumpulan B menentang Myanmar di Yangon pada 25 Julai sebelum melayan kunjungan Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, tiga hari kemudian.
Harimau Malaya kemudian akan bertandang ke Bangkok bagi menghadapi Thailand pada 1 Ogos sebelum menutup aksi peringkat kumpulan menentang Filipina di Cheras pada 8 Ogos.
Pengendali berusia 58 tahun itu, turut mengakui cabaran kali ini jauh berbeza berbanding ketika beliau membimbing Malaysia pada kempen Piala AFF 2018 yang menyaksikan Harimau Malaya muncul naib juara.
Ketika itu, beliau mempunyai tempoh persiapan yang lebih panjang untuk membentuk pasukan, namun situasi kali ini menyaksikan kebanyakan pemain yang dipanggil masih kurang pengalaman di pentas antarabangsa dan sedang melalui proses pembelajaran.
“Cabaran kali ini memang berbeza kerana ramai pemain masih mentah dalam aksi antarabangsa. Namun saya melihat mereka mempunyai keinginan yang tinggi untuk berjaya dan mencapai sesuatu dalam karier masing-masing.
“Itu satu petanda positif kerana semangat dan keazaman pemain amat penting dalam membentuk sebuah pasukan yang kompetitif,” ujarnya. – UTUSAN










