Stacy tidak mahu anak Sabah yang ada bakat nyanyian ketinggalan - Utusan Malaysia

Stacy tidak mahu anak Sabah yang ada bakat nyanyian ketinggalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Sebenarnya, rasa mahu luruh jantung pada malam itu dan saya tidak menyangka kerja keras saya selama ini mendapat penghargaan sebesar ini. Apatah lagi melihat nama-nama besar lain yang turut dicalonkan, rasa kerdil sangat.

“Anugerah ini dinilai sendiri oleh pihak Sabah Maju Jaya berdasarkan sumbangan kepada komuniti dan masyarakat setempat. Ia bukan mengenai populariti semata-mata, tetapi tentang apa yang telah kita pulangkan semula kepada orang ramai,”.

Demikian ujar penyanyi, Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam, 35, yang merangkul Anugerah Gemilang Maju Jaya 2026 di Sabah baru-baru ini.

Stacy berkata, selepas 18 tahun berkecimpung dalam industri seni sebagai penyanyi, pengiktirafan daripada kerajaan negeri itu betul-betul memberi makna besar buat dirinya.

Rasa terkejut itu datang bukan tanpa sebab kerana nama anak jati Penampang ini diletakkan sebaris dengan legenda besar negara seperti Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Ramli Sarip. Apatah lagi, trofi berprestij ini dipilih terus oleh pihak penganjur berdasarkan sumbangan kepada masyarakat, tanpa melibatkan sebarang undian peminat.

Bagi isteri kepada juri tetap Big Stage Rocketfuel, Akim Ahmad itu, kemenangan yang tidak disangka-sangkakan itu secara tidak langsung menjadi titik tolak untuk Stacy kembali memandang ke tanah kelahirannya dengan satu azam baharu.

Apabila ditanya, Stacy mengatakan bahawa sudah tiba masanya untuk melepaskan seketika keselesaan di Semenanjung demi menabur bakti kepada anak-anak muda di Sabah khususnya mereka yang mahu mencungkil bakat dalam bidang nyanyian.

Bagi Stacy, Sabah sememangnya sebuah lubuk yang tidak pernah kehabisan bakat nyanyian yang sangat semula jadi. Namun, apa yang dikesalinya adalah ketiadaan satu platform dan studio yang cukup kuat untuk melatih mereka.

“Sudah 18 tahun saya berada di Semenanjung dan belajar selok-belok industri termasuklah bab royalti dan penghasilan lagu. Apabila balik ke sini, saya nampak studio dan pembangunan bakat itu masih belum cukup kuat.

“Saya mahu menjadi jambatan buat anak-anak muda di Sabah yang mempunyai minat serta bakat yang besar dalam bidang nyanyian. Seni dan budaya sudah sebati dengan orang Sabah, cuma mereka tidak tahu saluran betul untuk pergi.

“Ia adalah impian terbesar saya sejak kecil untuk melihat wujudnya sebuah pusat latihan atau studio yang lengkap di sini. Dengan teknologi sekarang yang semakin ringkas, jarak tiga jam penerbangan bukan lagi alasan untuk anak Sabah ketinggalan,” katanya.

Sebelum ini, Stacy dan Akim sudah membuktikan kemampuan mereka selama lima tahun melatih artis baharu di Kuala Lumpur sehingga berjaya melahirkan kumpulan wanita dan band. Pengalaman berharga itulah yang mahu dijadikan formula untuk membina ‘kilang’ artis versi Borneo.

Dalam perkembangan yang lain, Stacy juga sebenarnya sedang merancang tentang kerjaya solo dirinya sendiri. Selepas kejayaan konsert solonya tahun lalu yang berjaya menarik 3,000 penonton, jiwanya kini sudah mula menolak corak persembahan yang biasa-biasa.

Dia kini lebih dahagakan sebuah persembahan pentas siaran langsung yang mampu memberikan kepuasan maksimum buat dirinya sebagai seorang penyanyi lincah.

Stacy berkata, fokus utamanya sekarang adalah mahu memastikan setiap lagu yang disampaikan mempunyai jalan cerita yang digabungkan bersama elemen visual yang mantap.

“Saya paling suka dalam muzik ini apabila kita dapat satukan melodi dengan gambaran visual yang tepat. Setiap kali mahu menyanyi, saya akan cari dahulu apa perasaan dan emosi lagu itu untuk dihidupkan di atas pentas.

“Kalau setakat menyanyi sahaja tanpa ada jalan cerita atau hubung kait dengan visual, ia tidak akan menjadi satu persembahan yang ‘wow’. Saya mahu penonton pulang dengan satu perasaan yang mendalam selepas melihat persembahan saya,” ujarnya.

Bagi melengkapkan pengalamannya yang lebih sedekad itu dalam industri seni, penyanyi yang terkenal dengan jolokan Ratu Pop Dance ini sempat membuka mulut mengenai satu lagi impian rahsia yang dipendamnya sejak dahulu.

Dia menaruh harapan yang sangat tinggi untuk berkongsi pentas dengan seorang figura yang amat dihormatinya. Tokoh seni yang dimaksudkan itu ialah penghibur legenda tanah air, Anita Sarawak yang cukup terkenal dengan aura dan tenaga luar biasa setiap kali beraksi.

“Sejak dulu lagi saya memang peminat setia Kak Nita dan saya rasa tenaga dan karakter kami di atas pentas ada persamaan. Kalau betul impian ini jadi kenyataan suatu hari nanti, saya tidak tahu mahu gambarkan bagaimana gempaknya tenaga kami di atas pentas. Doakan saya boleh berjumpa Kak Nita,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN