KUALA LUMPUR: Universiti di negara ini harus menawarkan program pengajian khusus dalam bidang pembangunan dan penyelidikan vaksin bagi melahirkan pakar-pakar vaksin dalam kalangan rakyat tempatan.
Kursus tersebut wajar sebagai pendekatan kerajaan untuk meletakkan industri vaksin sebagai bidang strategik dan keutamaan persediaan dalam menghadapi ancaman penyakit berjangkit yang boleh mencetuskan pandemik seperti Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, jika ada universiti yang menawarkan kursus berkenaan dan bakal penuntut menghabiskan pengajian dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun atau lebih dan diiktiraf sebagai pakar, negara sudah tidak perlu lagi bergantung dengan pihak luar.
Menurutnya, lima universiti penyelidikan di negara ini boleh mengorak langkah menawarkan kursus tersebut iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
“Selama lebih setahun negara bergelut dengan pandemik ini seharusnya sudah memberi idea kepada kita inilah masanya untuk kita hasilkan vaksin sendiri. Tetapi, langkah ini harus bermula di peringkat universiti yang menyediakan bakal penuntut dengan ilmu asas vaksin.
“Sehingga kini, tiada satu pun institusi pengajian atau penyelidikan yang menawarkan kursus dalam bidang berkenaan. Kita boleh ambil contoh universiti di Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan yang sudah ada dan akhirnya, mereka sudah ada pakar tersendiri.
“Saya percaya, jurusan ini juga mewujudkan peluang pekerjaan baharu memandangkan aspek kesihatan adalah keutamaan semua pihak sekarang,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan berkata, Malaysia dalam usaha membangunkan dua vaksin Covid-19 oleh kumpulan penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia, Hazami Habib berkata, bagi memastikan usaha ke arah menghasilkan vaksin negara berjaya, perlu ada pendekatan menyeluruh untuk mendukung penyelidikan dan pembangunan vaksin.
Ini termasuk pelan termasuk hala tuju jelas tentang keutamaan vaksin, pembiayaan jangka panjang untuk menyokong projek je tahap praklinikal serta inisiatif antara awam-swasta.
Tambahnya, kerjasama antara penyelidik, industri, kerajaan dan masyarakat perlu ada bagi membangunkan program vaksinologi yang dapat memupuk tenaga bakat mahir, memperbaiki urusan kawal selia dan mengurangkan halangan untuk ujian klinikal dan pembuatan vaksin.
“Kita juga perlu terlibat dalam usaha diplomasi sains vaksin melalui perkongsian dan kerjasama strategik di peringkat serantau dan global. Ini akan mewujudkan penyelidikan kolaboratif, program pembiayaan bersama, pemerolehan pengetahuan platform teknologi, latihan sumber manusia dan pengembangan bakat,” katanya. – UTUSAN










