KOTA BHARU: Seramai 603,289 orang daripada 1.2 juta rakyat Kelantan sudah mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) setakat ini.
Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, jumlah sehingga semalam itu menunjukkan bahawa hampir separuh daripada keseluruhan rakyat Kelantan telah mendaftar vaksin.
Katanya, pendaftaran vaksin di Kelantan meningkat sehingga 50 peratus itu adalah hasil keberkesanan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 yang dijalankan selain aplikasi MySejahtera.
“Peningkatan ini juga disebabkan sudah ramai penduduk negeri yang mula menyedari kepentingan vaksin dalam usaha untuk mencegah jangkitan Covid-19.
“Berdasarkan rekod Jabatan Kesihatan, lebih 285,000 dos vaksin sudah diterima oleh rakyat di Kelantan dengan 196,784 bagi dos pertama dan 88,376 dos kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengarah PKRC Kelantan, Dr. Mohd. Zurairie Mohd. Zubir, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Datuk Dr. Selasawati Ghazali dan Pengarah Penjara Kelantan, Mat Yaacob.
Mengulas lanjut, menurut Zaini, dengan jumlah penerima seramai 285,000, Kelantan kini tidak lagi berada negeri terbawah dari segi pemvaksinan malah akan terus meningkat terutama selepas menerima tambahan bekalan vaksin sebanyak 550,000 dos bulan depan.
“Selepas mendapat bekalan itu, pihak jabatan akan menjalankan lebih banyak Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di kawasan kampung.
“Setakat ini, sebanyak 18 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka seluruh Kelantan. Kita juga dalam perancangan untuk menambah lima lagi PPV selepas bekalan vaksin diterima,” katanya. – UTUSAN ONLINE










