PN tolak idea Tun M tubuh Mageran - Utusan Malaysia

PN tolak idea Tun M tubuh Mageran

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perikatan Nasional (PN) menolak idea `pelik’ Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

 Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, bekas perdana menteri itu wajar berehat setelah pernah dua kali menerajui negara dengan mewakili dua blok politik berbeza.

“Kalau (Mahathir) telah berhenti sebagai perdana menteri yang kedudukan lebih besar, cukuplah sudah tidak payahlah hendak jadi ketua sekali lagi dalam Mageran pula,” katanya.

 Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar di sini hari ini yang dipetik menerusi Facebook bagi mengumumkan tindakan penguatkuasaan kementerian susulan lanjutan sekatan pergerakan penuh hingga 28 Jun.

Pada Khamis lalu, Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu mencadangkan penubuhan Mageran ketika beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di ibu negara.

 Mahathir, 95, turut menawarkan diri untuk menerajui majlis tersebut berdasarkan kejayaan badan itu menyelesaikan masalah politik selepas tragedi berdarah perkauman 13 Mei 1969.

 Namun, idea itu ditolak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sambil menyifatkan hasrat tersebut sebagai agenda licik Dr. Mahathir setelah letak jawatan sebagai perdana menteri tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, kerajaan memandang serius peningkatan kes penghinaan institusi diraja dalam kalangan warganet melalui platform media sosial.

“Tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang  mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam mengikut lunas perundangan,” katanya.

Hamzah  dipercayai merujuk kepada usaha pembangkang melancarkan kempen pembebasan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang ditahan polis di Kajang, Selangor akhir bulan lalu.

 Aktivis politik itu diberkas susulan memuat naik video secara langsung melalui akaun sosial YouTube  mengutuk Yang di-Pertuan Agong dalam isu pengurusan wabak Covid-19.

Sementara itu, Hamzah turut memaklumkan para pemegang surat atau permit pergerakan merentas negeri yang akan tamat tempohnya Isnin ini boleh disambung  14 hari lagi.

“Bagaimanapun tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap pihak yang sengaja memalsukan dokumen ini atau memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa,” ujarnya.

 Ia susulan ada kes kumpulan penjenayah yang ditahan selepas menyamun mangsa di Melaka selepas menggunakan surat kebenaran merentas negeri dari sebuah kementerian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya