PKP 3.0 menyeluruh dilanjut hingga 28 Jun - Utusan Malaysia

PKP 3.0 menyeluruh dilanjut hingga 28 Jun

ANGGOTA polis dan ATM melakukan sekatan jalan raya bagi memastikan pematuhan SOP dan sekatan rentas daerah serta negeri. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) atau total lockdown yang sepatutnya berakhir Isnin ini dilanjutkan  dua minggu lagi berkuat kuasa 15 Jun sehingga 28 Jun 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kes harian Covid-19 yang masih tinggi melebihi 5,000 kes sehari.

“Sehingga semalam, kes dilaporkan 6,871 di seluruh negara dan oleh itu, PKP 3.0 disambung dua minggu lagi yang berkuat kuasa 15 Jun sehingga 28 Jun,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan telah membentang dan mencadangkan lanjutan itu dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menambah, segala bentuk prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti diumum sebelum ini.

Perkara berkenaan jelasnya, boleh dirujuk melalui laman sesawang rasmi kementerian yang berkaitan manakala maklumat lanjut boleh diakses menerusi laman sesawang MKN sendiri.

“Memandangkan senarai itu adalah sama juga seperti sebelum ini, maka kita berharap tiada lagi isu kekeliruan dalam aspek pelaksanaan penguatkuasaan SOP,” tegas Ismail Sabri.

Pada masa sama, beliau tidak mahu rakyat terkesan dengan salah tafsiran berhubung tindakan ingkar SOP di lapangan oleh pihak pasukan penguatkuasaan.

PKP 3.0 yang lebih ketat melibatkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh hampir semua sektor ekonomi dan sosial, mula dilaksanakan pada 1 Jun lalu ekoran lonjakan kes Covid-19.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Universiti Utara Malaysia (UUM) di Kedah menjadi institusi pengajian tinggi yang terkini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Ahad ini sehingga 26 Jun.

Katanya, dalam tempoh seminggu, Kementerian Kesihatan mendapati peningkatan kes apabila sebanyak 18 kes positif Covid-19 dilaporkan.  – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya