Pengusaha katering ‘bertarung’ teruskan kehidupan harian - Utusan Malaysia

Pengusaha katering ‘bertarung’ teruskan kehidupan harian

AZURA Ahmad (kiri) dan Mohd. Nazri Mohd. Rozali menyusun jualan makanan seperti ketupat, burasak dan lepat lui di kedai mereka di Taman Bakek, Jalan Bakek, Pontian, Johor. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Aktiviti sosial termasuk majlis keraian yang tidak dibenarkan berikutan sekatan pergerakan penuh dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menyebabkan pengusaha sajian atau katering terpaksa mencari alternatif bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Bagi pasangan suami isteri, Azura Ahmad, 36, dan Mohd. Nazri Mohd. Rozali, 38, mereka kini menumpukan kepada perniagaan menjual makanan di kedai setelah tiada lagi tempahan diterima daripada pelanggan.

Menurut Azura, kali terakhir tempahan diterima mereka adalah pada Ramadan lalu bagi majlis berbuka puasa dengan skala kecil yang diberikan kelonggaran sebelum PKP dilaksanakan.

Katanya, larangan penganjuran rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini memberi kesan besar kerana banyak tempahan yang diterima terpaksa dibatalkan penganjur.

“Kami kehilangan pendapatan yang biasanya dianggap sebagai ‘bonus’ selepas berakhirnya bulan puasa. Namun apakan daya bukan rezeki kepada pengusaha sajian pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di kedainya di Taman Bakek, di sini, semalam.

Menurut Azura, mereka kini menjual nasi beriani kambing dan ayam, ketupat, burasak dan lepat lut  selain pelbagai jenis lauk pauk seperti daging rending serta asam pedas ikan parang.

Katanya, pelbagai kaedah pemasaran dilakukan bagi menarik pelanggan antaranya melalui aplikasi WhatsApp komuniti seperti taman perumahan, bekas rakan-rakan sekolah dan platform lain.

Mereka juga menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan kepada pelanggan yang tidak dapat datang ke kedai dengan mengenakan sedikit caj penghantaran.

“Alhamdulillah, dengan adanya perkhidmatan penghantaran makanan, pendapatan kami boleh meningkat kepada RM1,500 sehari termasuk jualan secara terus kepada pelanggan yang datang ke kedai,” ujarnya.

Ujarnya, selain mencari pendapatan bagi bayaran sewa kedai sebanyak RM1,500 sebulan, dia mempunyai lima pekerja yang menguruskan kerja-kerja memasak, penghantaran makanan dan lain-lain. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya