PUTRAJAYA: Negara merekodkan pemberian vaksin Covid-19 tertinggi semalam iaitu sebanyak 197,963 dos dalam tempoh sehari.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, angka itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin sehingga kini berjumlah 4,688,233 dos.
Kata beliau, daripada jumlah itu, seramai 3,275,194 orang menerima dos pertama manakala sebanyak 1,413,039 individu menerima dos kedua.
“Jumlah pendaftaran penerimaan vaksin sehingga kini pula mencecah 13,811,642 yang meliputi 59 peratus daripada jumlah populasi penduduk dewasa negara ini,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.
Jumlah tertinggi direkodkan di Selangor iaitu 3.5 juta pendaftaran, Johor 1.7 juta, Sarawak 1.3 juta dan Kuala Lumpur 1.16 juta.
Orang ramai boleh membuat pendaftaran vaksin melalui aplikasi MySejahtera, atau di laman web http://vaksincovid.gov.my selain menerusi panggilan telefon 1800888828. – UTUSAN ONLINE










