PUTRAJAYA: Persidangan Parlimen secara hibrid boleh dipanggil pada bila-bila masa.
Ini berikutan pihak berkenaan sedang memuktamadkan atur cara perjalanan mesyuarat, memperincikan integrasi, melihat kaedah yang akan digunakan selain memperhalusi aspek perundangan sebelum melaksanakan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, persiapan ini membuktikan pembukaan semula Parlimen secara hibrid boleh dilaksanakan walaupun dalam tempoh darurat.
Beliau berkata, ia bagaimanapun bergantung kepada semua kelulusan dan sistem yang siap dipasang sepenuhnya.
“Persidangan Parlimen boleh dipanggil pada bila-bila masa. Sebenarnya, perkara persidangan secara hibrid ini telah dikaji dan diteliti oleh pihak sekretariat dan Ketua Pentadbir Parlimen serta pihak Penasihat Undang-undang Parlimen agak lama.
“Sepertimana yang dijelaskan oleh menteri semalam, perkara ini akan dikaji juga oleh pihak kerajaan,” katanya di sini semalam.
Azhar Azizan berkata, di peringkat Parlimen pula, perkara itu perlu dipersetujui Jawatan Kuasa Dewan dan apa-apa peraturan yang dibuat pula perlu diluluskan oleh Jawatan Kuasa Peraturan.
Beliau menjelaskan, selepas semuanya itu selesai, ia perlu dibentangkan pula dalam Dewan Rakyat.
“Selepas semua perkara itu selesai, maka sistem ini akan digunakan sekiranya keadaan memerlukan pada bila-bila masa sidang Parlimen dipanggil mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid sebagai langkah bagi memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya, walaupun negara masih berdepan pandemik Covid-19.
Perkara itu dibincangkan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara dan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua dalam mesyuarat secara maya bagi meneliti perkara-perkara berkaitan antara lain merangkumi persiapan ke arah pelaksanaannya meliputi aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan.
Sebelum ini pelbagai pihak menggesa supaya Parlimen kembali bersidang, bagi menjamin keutuhan demokrasi yang menjadi teras kedaulatan sistem pentadbiran di Malaysia.
Parlimen tidak bersidang ketika ini susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 11 Januari lalu memperkenankan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19.
Bagaimanapun, pada 24 Februari lalu, Seri Paduka bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri. – UTUSAN











