PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) memohon kerajaan membenarkan kedai buku, alat tulis dan komputer beroperasi semula.
Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, tindakan itu wajar dilakukan tanpa perlu menunggu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki Fasa 2.
“Ini kerana sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) dan dalam talian masih berjalan seperti biasa.
“Ditambah pula dengan mahasiswa yang ketika ini sedang menjalani minggu-minggu akhir semester serta minggu peperiksaan. Ia memerlukan mahasiswa mempunyai peranti yang baik bagi memudahkan urusan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Amir Asyraf berharap cadangan itu dapat dipertimbang kerajaan sekali gus memastikan sistem pendidikan di negara berjalan dengan baik. – UTUSAN ONLINE










