Maritim Malaysia rampas 50 set bubu naga  - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia rampas 50 set bubu naga 

SEBANYAK 50 set bubu naga dirampas Maritim Malaysia Pulau Pinang di empat lokasi berbeza di sekitar satu batu nautika barat pesisir pantai Penaga, Seberang Perai Utara (SPU).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri merampas sebanyak 50 set bubu naga di empat lokasi sekitar satu batu nautika barat pesisir pantai Penaga, Seberang Perai Utara (SPU), semalam. 

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, rampasan itu dilakukan semasa rondaan rutin operasi bersepadu Op Pertiwi/Benteng Laut antara pukul 4.20 hingga 5.20 petang. 

Jelas beliau, ketika operasi itu, bot ronda maritim negeri mengesan beberapa pelampung di permukaan air yang mencurigakan dan disyaki penanda bubu naga. 

“Pemeriksaan di keempat-empat lokasi  berjaya mengesan bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab. 

“Kesemua bubu naga yang dirampas itu berjumlah 50 set dengan anggaran nilai hampir RM6,000 itu dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Dalam pada itu, beliau mengingatkan nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukan. 

Jelasnya, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain. 

Katanya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan. 

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. 

Dalam pada itu jelas beliau, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram tersebut dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama dari orang ramai melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini. 

Katanya, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146. – UTUSAN ONLINE                                

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN