SEREMBAN: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, ia bagi membolehkan parti itu menyusun gerak kerja dengan tumpuan kepada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bagaimanapun, katanya, jentera parti itu akan digerakkan untuk membantu calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang dan calon Parti Orang Asli Malaysia (Asli) yang bertanding di DUN Jeram Padang.
“Setelah perbincangan yang rapi antara Biro Politik Muda bersama Muda Negeri Sembilan, kami mengambil keputusan tidak bertanding dalam PRN kali ini untuk memberi tumpuan membina kekuatan Muda menjelang PRU akan datang.
“Reflek daripada PRN Johor baru-baru ini masih jelas bagaimana blok besar iaitu Pakatan Harapan dan Barisan Nasional masih memainkan polisi lama yang telah menjadi dinosor yang perlu ditolak seperti isu perkauman dan pertelingkahan kerusi berbanding dasar dan polisi untuk orang Johor yang mana saya percaya ia akan berlarutan di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat PSM Negeri Sembilan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PSM, S. Aruthelvan dan Presiden Asli, Rashid Ka.
Pada PRN Johor lalu, Muda tewas di empat kerusi DUN yang ditandinginya iaitu Bukit Batu, Maharani, Simpang Jeram dan Puteri Wangsa.
Amira Aisya adalah penyandang kerusi DUN Puteri Wangsa tetapi tidak bertanding dalam PRN Johor tersebut.
Sementara itu, seorang guru tuisyen, S. Tinagaran telah dipilih oleh PSM untuk bertanding di kerusi DUN Rahang dalam PRN kali ini.
Beliau yang juga Setiausaha PSM negeri pernah bertanding kerusi Parlimen Rembau dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2022.
Katanya, isu-isu rakyat yang tidak melibatkan kaum dan agama akan menjadi tema yang diperjuangkan parti itu dalam kempen pilihan raya berkenaan.
“Kami menawarkan pilihan kepada para pengundi terutamanya dalam kalangan pekerja bawahan yang memerlukan pembelaan kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN










