BAITULMUQADDIS: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz memaklumkan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, rejim itu bertekad mengekalkan tenteranya di zon keselamatan yang diwujudkan di Lubnan, Syria dan Semenanjung Gaza.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, pejabat Katz berkata, kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbualan pada waktu malam, dengan menteri itu menegaskan pendirian Israel untuk terus berada di zon keselamatan di Syria, Gaza dan Lubnan bagi melindungi sempadan Israel serta komuniti berhampiran sempadan daripada ancaman kumpulan jihad.
“Kami tidak pernah meminta AS bertindak bagi pihak kami di sepanjang sempadan kami,” kata Katz.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Presiden AS, Donald Trump dilaporkan meminta Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menarik keluar tentera Israel dari Syria dan Lubnan, menurut portal berita Axios.
Memetik seorang pegawai AS, Axios melaporkan Trump memberitahu Netanyahu penempatan tentera Israel hanya memburukkan lagi ketegangan di Syria.
“Mereka tidak mahu kamu berada di sana. Kamu perlu menempatkan semula pasukan,” kata Trump kepada Netanyahu, menurut laporan itu.
Selepas kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad di Syria pada Disember 2024, Israel menghantar tenteranya ke zon penampan yang dipantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang sebelum ini memisahkan pasukan Israel dan Syria di Bukit Golan.
Sejak itu, Israel turut melancarkan beberapa pencerobohan dan serangan udara ke wilayah Syria, selain menyatakan hasrat mewujudkan zon bebas tentera di selatan negara itu.
Di Lubnan pula, tentera Israel masih ditempatkan di kawasan yang disifatkan sebagai zon keselamatan, membabitkan kawasan sejauh kira-kira 10 kilometer ke dalam wilayah Lubnan.
Lubnan dan Israel yang tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi, kini terlibat dalam rundingan bagi menamatkan permusuhan selepas kumpulan Hizbullah mengheret negara itu ke dalam konflik lebih luas di Asia Barat menerusi serangan ke atas Israel pada Mac lalu.
Kedua-dua negara menamatkan pusingan kelima rundingan di Rom pada Rabu.
Rundingan yang diusahakan AS itu bertujuan memastikan pengunduran secara berperingkat tentera Israel dari Lubnan, bermula dengan dua zon perintis yang terletak di luar zon keselamatan yang diwujudkan Israel di selatan negara itu.
Di Gaza, tentera Israel kini menguasai kira-kira 60 peratus wilayah berkenaan serta mengawal keseluruhan kawasan perimeter di sepanjang sempadan dengan Israel dan Mesir.-AFP










