PETALING JAYA: Sanggup curi gambar dan identiti orang lain di Facebook (FB) sebelum membuat Mykad palsu.
Bukan itu sahaja, dengan berbekalkan Mykad palsu itu, seorang lelaki berusia 35 tahun memohon kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan kad kredit untuk digunakannnya melakukan penipuan pembelian barangan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kegiatan graduan dari United Kingdom (UK) itu bagaimanapun terbongkar selepas dia ditahan kerana memperdaya peniaga pelbagai barangan dengan menggunakan identiti palsu dicurinya.
Malah, kegiatan yang dilakukan sejak 2018 telah menyebabkan peniaga-peniaga terbabit kerugian RM80,000.
Kata beliau, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai mempelajari ilmu penipuan terbabit daripada rakan-rakan ketika dia belajar di sana sebelum mula menipu kononnya ingin membeli barangan melalui dalam talian.
“Modus operandi suspek ialah dengan menjalankan kegiatan itu secara bersendirian selain suspek sendiri akan membuat Mykad palsu individu lain hasil maklumat dan butiran yang diperoleh daripada Facebook.
“Suspek kemudian memesan barangan yang ingin dibeli menggunakan alamat palsu untuk penghantaran.
“Selepas itu, bayaran akan dibuat oleh suspek menggunakan aplikasi e-wallet namun sebaik barangan yang ditempah itu diperolehnya, lelaki itu akan segera menghubungi syarikat aplikasi terbabit dengan memberi alasan identitinya digunakan orang lain dan dia tidak ada membuat bayaran seperti itu dengan meminta pembayaran itu dibatalkan,” katanya dalam di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Eng Lai, sebaik sahaja suspek menerima wangnya kembali, suspek yang bekerja sebagai peniaga dalam talian kemudian akan menjual semula barangan ditipunya itu lebih murah daripada harga pasaran.
“Suspek juga melakukan penipuan menjual barangan dalam talian tidak wujud di mana apabila mangsa membuat bayaran, barangan yang dibeli mereka tidak diterima.
“Bagaimanapun, kegiatan suspek terbongkar selepas pihaknya menerima laporan polis daripada pengurus syarikat menjual alatan memancing Jumaat lalu yang kerugian RM14,000 selepas menjadi mangsa penipuan suspek,” jelasnya.Dalam pada itu, ujar beliau, bertindak atas laporan itu, suspek kemudiannya dikenal pasti sebelum dia ditahan di Sungai Buloh, Selangor pada Jumaat lalu.
Ujarnya lagi, hasil tangkapan itu, pelbagai barangan termasuk alatan untuk penipuan seperti 131 kad sim prabayar dirampas selain telefon bimbit pelbagai jenama (28 buah), kad kredit (48 keping),Mykad palsu (8), pasport palsu (2) dan kad akses perumahan (32).
“Turut dirampas adalah dua mesin pencetak akses kad, komputer riba, resit deposit wang, fail mengandungi maklumat rekod transaksi, buku mengandungi maklumat mangsa dan tujuh kotak kosong untuk tujuan penghantaran.
“Antara barangan yang dibeli suspek adalah lima unit alat memancing pelbagai jenama, 18 unit CPU, beg, pemanas air, penghawa dingin dan lain-lain,” jelasnya.
Eng Lai memberitahu, hasil soal siasatan suspek mengaku melakukan sekurang-kurangnya 40 penipuan dan polis menerima enam laporan membabitkan kerugian RM80,000..
“Suspek ditahan reman bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 25 (1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Sehubungan itu, polis menasihatkan pengguna Facebook supaya berhati-hati dan tidak terlalu berkongsi maklumat peribadi sehingga diambil kesempatan oleh individu lain untuk tujuan jenayah.
“Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati ketika membeli barangan dalam talian supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










