CYBERJAYA: Kerja-kerja membaik pulih menara komunikasi di Menara Ladang Sibol B, Kota Tinggi, Johor yang terbakar Selasa lalu, selesai lebih awal daripada yang dijadualkan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja-kerja berkenaan siap sepenuhnya dua hari awal daripada jangkaan hari Selasa ini seperti yang ditetapkan sebelum ini.
“Menara komunikasi tersebut adalah milik Maxis yang dikongsi bersama dengan Celcom.
“Pengguna setempat yang mengalami gangguan akibat kejadian tersebut dapat menikmati semula rangkaian komunikasi dan liputan internet seperti sedia kala,” katanya di sini hari ini.
SKMM merakamkan penghargaan kepada semua penyedia perkhidmatan yang komited melaksanakan kerja-kerja baik pulih di menara komunikasi berkenaan sehingga ia disiapkan lebih awal demi kepentingan pengguna.
Selasa lalu, berlaku insiden kebakaran melibatkan sebuah menara komunikasi di Menara Ladang Sibol B, Kota Tinggi kira-kira pukul 7.04 malam sehinggakan memusnahkan peralatan, bahagian kabin, dan bekalan elektrik di menara tersebut. – UTUSAN ONLINE










