Kelibat beruang matahari, penduduk risau keluar rumah - Utusan Malaysia

Kelibat beruang matahari, penduduk risau keluar rumah

OTHMAN Shamsuddin menunjukkan kawasan yang pernah dilihat kelibat beruang matahari di Kampung Jimah Lama, Port Dickson. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Penduduk Kampung Jimah Lama dekat sini, dikejutkan dengan kelibat seekor beruang matahari yang kelihatan di atas sebatang pokok di kampung tersebut, pagi kelmarin.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jimah Lama, Othman Shamsuddin berkata, pihaknya dimaklumkan penduduk kampung haiwan berkenaan keluar pada waktu pagi. 

“Terdapat tiga penduduk yang sering masuk ke kebun durian berdekatan dan mereka mendakawa melihat haiwan berkenaan. Kawasan hutan di sini sudah mula diterokai jadi berkemungkinan ada sepasang beruang matahari di kebun durian berkenaan. 

“Saya dimaklumkan ada penduduk kampung yang melihat haiwan berkenaan beruang matahari itu di atas pokok tiga hari lalu. Jika ikutkan sebelum ini memang ada penduduk yang melihat haiwan ini, namun selepas beberapa lama baru ada cerita mengenai penemuan beruang matahari ini,” katanya kepada pemberita di kampung tersebut, hari ini.

Menurut Othman, kebanyakan penduduk kampung mula sudah takut untuk keluar dari rumah masing-masing, kerana khuatir terserempak dengan haiwan berkenaan. 

“Selepas kejadian itu, penduduk kampung mula risau untuk keluar rumah dan masing-masing berhati-hati kerana khuatir terserempak dengan haiwan itu,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penghilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, beruang matahari itu dipercayai tersesat dari kawasan hutan berhampiran.

“Perhilitan menerima aduan daripada penduduk kampung tersebut yang melihat seekor beruang jenis matahari berkenaan dan pihak kami mula memasang perangkap semalam. 

“Beruang ini boleh berbahaya jika kita melakukan provokasi dan dia boleh menyerang balik kerana memiliki kuku panjang gigi yang tajam,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN