KANGAR : Pas menafikan dakwaan mereka bersikap pilih kasih dengan lebih memihak kepada Perikatan Nasional (PN) berbanding Muafakat Nasional (MN) yang terjalin lebih awal bersama UMNO sebelum ini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas sama sekali tidak pernah meminggirkan UMNO dan hubungan yang terjalin dalam MN akan terus diperkukuhkan.
Dalam masa sama katanya, Pas tetap dengan pendirian untuk bersama dengan PN dan akan mempertahankan kedua-dua gabungan tersebut demi kepentingan Islam.
“Pas akan terus memelihara hubungan yang telah dibina sama ada dalam PN mahupun MN. Kita akan jaga kedua-duanya dalam mengharungi suasana politik ketika ini.
“Perpaduan umat Islam perlu diperkukuhkan melalui gabungan ketiga-tiga parti ini yang dilihat lebih kepada kebaikan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan PN, ada cakap-cakap mengatakan Pas mula berubah dengan lebih menyebelahi gabungan baharu itu daripada MN yang lebih awal terjalin dengan UMNO.
Hubungan erat Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam PN selain tindak-tanduk Pas yang dilihat memihak kepada Bersatu dalam beberapa perkara menyebabkan ada dalam kalangan UMNO mula ‘terasa hati’ sekali gus mencetus polemik sejauh mana hubungan MN boleh bertahan.
Tambah Hashim, penyatuan Melayu Islam tidak lengkap jika sekadar Pas dengan UMNO semata-mata sebaliknya perlu ditambah kekuatan dengan penyertaan Bersatu.
“Gabungan ketiga-tiga parti ini sangat diperlukan bagi berhadapan dengan musuh yang tidak kurang hebatnya. Saya penuh yakin, pimpinan utama Pas mampu untuk mengatasi masalah ini dengan baik dan bijaksana demi perpaduan ummah,” katanya.
Sementara itu, ditanya adakah Pas sedia menerima Parti Amanah Negara (Amanah) sebagaimana UMNO diminta berlapang dada menerima Bersatu, Hashim berkata, parti itu tidak pernah membuat satu keputusan mutlak untuk tidak menerima Amanah.
“Tapi tentu ada syarat-syaratnya, siapa (pemimpin) hendak masuk (Pas) dari Amanah. Kita tidak tutup terus masih terbuka,” katanya. – UTUSAN










