Kejadian amuk di surau KKIA, seorang polis cedera - Utusan Malaysia

Kejadian amuk di surau KKIA, seorang polis cedera

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai Orang Kurang Upaya (OKU)  selepas dia bertindak melibas pisau ke arah orang awam di surau Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Dalam kejadian yang berlaku sekitar 2.30 petang itu, sepasukan anggota dan pegawai tiba di tempat kejadian selepas menerima laporan seorang anggota polis dicederakan oleh lelaki yang berusia 47 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota dan pegawai dikerah bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, suspek didapati sedang memegang sebilah pisau dan dalam keadaan yang agresif ketika pihak polis tiba di lokasi itu.

“Dalam usaha menenangkan suspek yang bertindak agresif, salah seorang anggota mengalami kecederaan di jari tangan akibat terkena pisau suspek.

“Pasukan polis terpaksa bertindak pantas untuk menahan suspek bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

Anggota polis yang cedera itu menerima dua jahitan di tangan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan

Tambah Mohd Zaidi, suspek yang turut mengalami sedikit luka calar di dagu kemudiannya dibawa ke balai polis KKIA untuk tindakan selanjutnya.

Pemeriksaan mendapati suspek membawa sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 21 sentimeter bersama sekeping kad OKU dan kad temujanji Hospital Bukit Padang.

“Suspek bertindak agresif dipercayai kerana tidak memakan ubat atas masalah mental yang dihidapinya.

“Tidak ada sebarang kecederaan yang berlaku terhadap orang awam manakala anggota polis yang cedera dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Medisinar, KKIA,” ujarnya.  UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya