Pemulihan UMNO berjalan lancar, ahli terus aktif - Utusan Malaysia

Pemulihan UMNO berjalan lancar, ahli terus aktif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA merujuk kepada tulisan Zulhisham Isahak ‘Dana: Rejuvenasi UMNO Terhenti?’ yang disiarkan di akhbar ini pada 16 Oktober 2018, dan terpanggil untuk mengulas mengenainya.

KERATAN Utusan Malaysia 16 Oktober 2018.
KERATAN Utusan Malaysia 16 Oktober 2018. 

Dalam tulisan tersebut beliau menyatakan bahawa akibat ketiadaan dana, proses pemulihan UMNO tidak dapat berjalan lancar. Malah, UMNO dilihat tidak menunjukkan usaha dalam memulihkan parti.

Saya ingin menyanggah pandangan ini dengan mengutarakan beberapa perkara.

Pertama, dakwaan bahawa tiada sebarang post mortem selepas kekalahan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah tidak benar. Barangkali penulis merujuk kepada laporan yang diterbitkan secara rasmi dan diedarkan kepada umum secara besar-besaran. Sudah pasti tidak ada perkara sebegitu. Dan pastinya UMNO tidak akan berbuat demikian.

Sebaliknya, sesi muhasabah dan penilaian terhadap kesilapan dan kekurangan UMNO ketika turun ke PRU-14, khususnya UMNO Johor, sering dilakukan. Dari semasa ke semasa, setiap bahagian dan jentera UMNO memberi maklum balas dan saranan mereka untuk kita membetulkan kesalahan lepas.

Dalam konteks yang lebih besar, saya sarankan untuk mendengar ucapan penuh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang disampaikan semasa Perhimpunan Agung UMNO tempoh hari. Kelemahan dan kesilapan UMNO sebelum ini, khususnya dalam PRU-14 telah dinyatakan oleh kedua-dua pemimpin ini dengan jelas, lantang dan terbuka.

Kedua, rejuvenasi UMNO tidak lumpuh tanpa dana. Pandangan penulis nyata bercanggah dengan ulasan beliau sendiri yang mengakui bahawa ramai Ketua Bahagian UMNO yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik untuk membantu parti. Jadi mana mungkin parti akan lumpuh? Dan kalau pun mereka menyumbang kepada pergerakan UMNO, ia bukanlah sesuatu yang perlu dicanangkan ke seluruh pelosok negeri.

Kedua, UMNO bukan parti yang hanya bergerak apabila mempunyai dana yang besar. Lebih-lebih lagi dalam konteks semasa, yang menyaksikan UMNO bergerak sebagai pembangkang. Sebagai pembangkang, yang kita perlukan adalah mengetengahkan isu dan rungutan masyarakat kepada pemerintah dengan berkesan. Dan ini tidak memakan kos yang besar.

Malah, fokus UMNO dalam agenda rejuvenasinya berjalan lancar. Lebih-lebih lagi kerana semua itu tidak dipusatkan kepada inisiatif yang memerlukan komitmen kewangan yang terlalu besar.

Misalnya, menyarankan ahli-ahli UMNO untuk menjadi lebih peka dan menggandakan khidmat bakti dalam mendekati lebih ramai anggota masyarakat. Perkara ini adalah amalan lazim ahli UMNO. Cuma, dalam agenda rejuvenasi ini, ia sedang diperkemas dan diperkasakan dengan mengambil kira pendekatan serta strategi yang lebih berkesan.

Ketiga, rejuvenasi UMNO mempunyai fokus tersendiri. Misalnya, mencari bakat-bakat muda yang berketrampilan untuk bersama-sama berjuang dalam UMNO. Kita juga sedang menyemak keperluan UMNO sebagai sebuah parti untuk mempunyai lebih banyak sayap madani sendiri dan bekerjasama dengan lebih banyak NGO sedia ada. Semua ini adalah satu bentuk sentuhan dan pendekatan pemulihan yang boleh dijayakan secara sukarela tanpa perlu menantikan dana yang terlalu besar.

Jadi, dakwaan bahawa UMNO tidak dapat berjalan lancar dan tidak mempunyai fokus dalam agenda rejuvenasinya adalah tidak tepat. Lebih-lebih lagi dalam konteks UMNO Johor yang menyaksikan ahli dan pemimpin UMNO sentiasa mendahului dalam pelbagai isu tempatan yang berlaku di negeri ini.

Yang pasti, hanya kerana semua itu tidak digembar-gemburkan secara berulang kali di media arus perdana, tidak bermakna semua tidak berlaku. Adalah amat mengaibkan untuk mendakwa bahawa orang Melayu dan amalan politik serta gerakan khidmat baktinya hanya berkisar tentang wang dan kebendaan. UMNO lebih besar daripada semua itu. Orang Melayu lebih besar daripada semua itu.

DATUK IR. HASNI MOHAMMAD ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN