Hotel tawar cuti tanpa gaji, pengurangan gaji - Utusan Malaysia

Hotel tawar cuti tanpa gaji, pengurangan gaji

PEKERJA bahagian pembersihan bilik Hotel Grand Lexis, Port Dickson selesai menjalankan tugas mereka walaupun tanpa kehadiran pengunjung ekoran pelaksanaan PKP. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada pekerja-pekerja hotel di Negeri Sembilan diberhentikan meskipun industri berkenaan berdepan situasi mencabar ketiadaan pengunjung ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta larangan merentas negeri dan daerah.

Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, daripada 35 hotel yang menjadi ahli persatuan itu di negeri ini, tiada satupun yang mengambil tindakan memberhentikan pekerja akibat terkesan dengan situasi semasa penularan Covid-19.

Bagaimanapun beliau mengakui, terdapat banyak hotel yang menawarkan cuti tanpa gaji serta pengurangan gaji kepada kakitangan mereka bagi tujuan mengurangkan kos.

“Hotel-hotel masih beroperasi namun tiada pekerja yang diberhentikan kerana jika tindakan itu dilakukan, apabila boleh beroperasi semula nanti, mana mereka mahu mencari semula pekerja terutama yang berpengalaman? Mereka semua sebelum ini sudah terlatih.

“Pekerja-pekerja ini cuma kita suruh bercuti tanpa gaji selain ditampung dengan bantuan oleh kerajaan menerusi Program Subsidi Upah (PSU). Bagaimanapun hotel-hotel masih mengekalkan kakitangan mereka untuk bekerja terutama di bahagian keselamatan, pembersihan dan penyelenggaraan, ini masih ada, penting untuk hotel-hotel ini terus diselenggara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, jelas Haziz, seperti juga di tempat lain, hotel-hotel di Negeri Sembilan khususnya di Port Dickson amat terkesan tanpa kehadiran pelancong.

Menurutnya, pelbagai langkah diambil oleh MAH Negeri Sembilan selain pihak hotel sendiri supaya mereka masih mempunyai aliran tunai sepanjang tempoh PKP ketika ini.

“Sama ada PKP ini dilaksanakan secara penuh ataupun tidak, hotel tetap tidak boleh beroperasi, perniagaan hotel ini berharap dengan pergerakan orang dan mereka boleh menginap, menjalankan aktiviti dan acara, setakat ini memang tidak ada semua itu.

“Ada hotel yang membuat jualan makanan secara pandu lalu, tapi berapa sangat yang boleh dapat, tapi sekurang-kurangnya ada untuk aliran tunai mereka selain menampung sedikit pembayaran gaji chef mereka. MAH Negeri Sembilan juga berusaha dan mengusulkan cadangan supaya banyak lagi hotel dijadikan sebagai pusat kuarantin, sekurang-kurangnya kemudahan yang ada dapat digunakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya