PETALING JAYA: Pasaran hartanah di negara ini kembali turun, selepas kali terakhir berlaku semasa krisis kewangan 1998 yang menyebabkan kemelesetan ekonomi.
Keadaan itu dipengaruhi lambakan hartanah yang terkesan dengan pandemik Covid-19 menyebabkan penurunan 15.8 peratus sejak penghujung 2019 sehingga sekarang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, secara umumnya, pasaran hartanah masih dalam fasa pemulihan disebabkan oleh pandemik covid-19 yang belum berakhir.
Katanya, secara kebiasaannya, penurunan harga hartanah bergantung kepada lokasi hartanah, namun, pada waktu ini, semua tempat didapati berlaku penurunan harga.
“Secara umumnya, harga rumah menurun kerana banyak pilihan (hartanah) di pasaran. Contohnya, mereka yang terkesan pandemik sehingga dibuang kerja, terpaksa menjual rumah mereka pada harga diskaun. Oleh sebab itu, berlaku pengurangan harga.
“Kebanyakan pembeli juga memilih rumah kerana mempunyai harga diskaun, maka, pilihan banyak di pasaran, bahkan boleh dikatakan hartanah yang berada di lokasi-lokasi strategik, tetapi dijual pada harga yang sangat menarik.
“Berdasarkan daripada trend semasa juga, penurunan harga rumah berlaku sekitar 15.8 peratus sejak akhir 2019 dan pada fasa pertama pandemik Covid-19, tahun lepas. Penurunan itu bersambung daripada tahun lepas iaitu sekitar 0.8 peratus, maka, boleh dikatakan penurunan hampir 16 peratus sejak akhir 2019 sehingga sekarang,” katanya.
Berdasarkan laporan terbaharu Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC), berlaku penurunan secara umum dari segi jumlah iaitu 11.6 peratus berbanding suku keempat 2020 dan suku pertama 2021, manakala terdapat penurunan di antara 18 sehingga 23 peratus dari segi nilai harga rumah.
Menurut Ishak, sekarang adalah masa terbaik buat rakyat untuk memiliki hartanah atau membeli rumah yang didorong tiga faktor utama.
“Pertama, harga rumah yang mereka peroleh adalah pada harga diskaun. Kedua, kadar faedah pinjaman bank di bawah empat peratus, malah, ada bank yang memberi kadar faedah pada tiga dan dua peratus.
“Ketiga, tawaran pinjaman untuk dua generasi yang mana pembeli boleh memanjangkan tempoh pinjaman dan bayaran bulanan berkurangan,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ir. Soam Heng Choon berkata, isu yang dihadapi dalam industri sekarang adalah peningkatan harga pembinaan dan kekurangan pekerja.
Katanya, disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ekonomi yang tidak rancak, pemaju tidak mempunyai perancangan untuk menaikkan harga rumah, tetapi, mereka terpaksa menanggung kerugian kenaikan berkenaan.
“Harga rumah memang stabil iaitu tidak naik dan tidak turun, tetapi, harga barang-barang binaan sedang naik. Paling teruk sekali adalah harga besi.
“Jika harga binaan meningkat mendadak maka, ada kemungkinan harga rumah naik. Pada masa ini, kontraktor dan pemaju menanggung kos kenaikan harga barang binaan,” katanya. – UTUSAN










