PETALING JAYA: Sudah tiba masanya program pembangunan vaksin Covid-19 menjadi agenda utama kerajaan dengan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) melibatkan kalangan saintis tempatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, kerajaan perlu melihat manfaat dari sudut jangka panjang dan masa depan kerana penularan virus itu belum menemukan titik noktah.
Lebih mendukacitakan katanya, sehingga kini tiada usaha di peringkat kerajaan untuk menggerakkan program pembangunan vaksin Covid-19 dan menggembleng kepakaran sama ada universiti awam atau swasta.
Katanya, kerajaan perlu segera mewujudkan satu pasukan khas membabitkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pengajian Tinggi untuk melihat keperluan pembangunan vaksin sendiri.
“Kita perlu usaha ini untuk jangka panjang dan lihat ke hadapan kerana tidak tahu virus Covid-19 ke penghujungnya, jadi kerajaan perlu melancarkan usaha mewujudkan vaksin sendiri tanpa bergantung kepada negara lain.
“Tidak mustahil kita boleh mewujudkan vaksin sendiri. Namun kalau tidak mampu, kita boleh menjalinkan kerjasama dengan negara lain. Tetapi masalahnya hari ini tiada usaha ke arah itu sama ada di peringkat kerajaan atau pihak lain. Jika tiada dana, sektor swasta perlu sama menyumbang,” katanya.
Malaysia sebelum ini berdepan masalah bekalan vaksin sehingga menyebabkan program imunisasi perlahan sekali gus menimbulkan rungutan dalam kalangan rakyat.
Namun isu itu bukan sahaja berlaku di Malaysia, namun melibatkan negara lain apabila terpaksa bersaing dengan kuasa besar di dalam perolehan vaksin.
Dalam wawancara Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohd. Rabin Basir pernah memaklumkan Malaysia dipermainkan dan menjadi mangsa buli kuasa besar dalam isu pengagihan vaksin sehingga mengakibatkan bekalan yang sepatutnya sampai tepat pada masanya dilewat-lewatkan pembekal.
Dalam pada itu, Raduan memberitahu, negara mempunyai banyak saintis dan kepakaran serta amat rugi jika tidak digunakan pengalaman mereka dengan sepenuhnya.
“Apa salahnya libatkan sama dan gunakan saintis kita yang bekerja di luar negara, apa gunanya ada banyak saintis tempatan tetapi tidak digunakan pengalaman mereka. Mungkin ia (pembangunan vaksin) mengambil masa dua hingga tiga tahun tetapi negara tidak perlu lagi bergantung kepada bekalan vaksin kuasa besar,” katanya.
Sementara itu Ketua Kluster Perubatan dan Kesihatan Akademi Profesor Malaysia, Prof. Dr. Adlina Suleiman pula menjelaskan, bukan satu perkara mudah untuk membangunkan vaksin kerana ia memerlukan penyelidikan lebih mendalam dan Malaysia masih belum sampai tahap tersebut.
Katanya, satu perkara mustahil jika usaha berkenaan dapat direalisasikan dan ia memerlukan tempoh agak panjang untuk membangunkan vaksin.
“Hanya negara maju seperti China, Amerika Syarikat, United Kingdom yang berani bangunkan vaksin karena mereka mempunyai teknologi. Tetapi ada juga negara lain yang tidak berani keluar vaksin lagi,” katanya.
Menurutnya, adalah lebih baik jika kerajaan memfokuskan membawa masuk lebih banyak vaksin untuk mewujudkan imuniti kelompok untuk tempoh segera serta menggalakkan lagi rakyat mengambil suntikan vaksin. – UTUSAN











