200 tan sayur terbuang sehari - Utusan Malaysia

200 tan sayur terbuang sehari

KIRA-KIRA 200 tan metrik sayur tidak laku dijual terpaksa dibuang di tempat pelupusan sampah sehingga 200 penanam Bumiputera Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan menanggung kerugian mencecah RM400,000 sehari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lambakan sayur yang gagal dipasarkan akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown menyebabkan 200 penanam bumiputera di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang,dekat sini terpaksa membuang sehingga 200 tan metrik sayur sehari.

Dengan sayur terbuang sebanyak itu di tempat pelupusan, mereka hanya mampu berputih mata kerana perlu berdepan kerugian besar yang dianggarkan mencecah hingga RM400,000 setiap hari.

Sehubungan itu, Persatuan Pekebun Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing (PPSBL) hari ini mendesak kerajaan meluluskan cadangan pembinaan Kompleks Agro Biz Lojing Highlands yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran sayur dari kawasan tersebut.

Timbalan Pengerusi PPSBL, Yusup Abd.  Rahamam berkata, pembinaan kompleks bernilai RM30 juta seluas lapan hektar itu sehingga kini belum dimuktamadkan sedangkan ia mampu menyelesaikan masalah lambakan sayur kritikal dialami mereka ketika ini.

“Cadangan ini sudah dibuat kepada Lembaga Pemasaran dan Pertanian ( Fama) pada Oktober tahun lepas lagi selepas kita berdepan masalah lambakan sayur apabila seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

“Setakat ini Kelantan belum ada pusat pengumpulan seumpama itu yang sebenarnya boleh menyelesaikan masalah ini bagi menguruskan pemasaran sayur-sayuran keluaran Lojing di luar Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar di Jalan Sultanah Zainab, di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob yang ditemui ketika melawat Kampung Kutan Tengah, Tumpat yang dikenakan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) hari ini berkata, masalah dihadapi penanam sayur di Lojing itu dipandang serius.

Katanya, kerajaan negeri sedang meneliti cadangan PPSBL bagi mewujudkan sebuah pusat pengumpulan dan pemasaran sayur-sayuran dalam usaha menyelesaikan lambakan bahan mentah itu di pasaran ketika ini.

“Perkara itu (cadangan mewujudkan pusat pengumpulan sayur) akan dilihat dan diteliti semula bagi menentukan sama ada sesuai atau sebaliknya. Kita cuba kenal pasti kawasan yang berpotensi (untuk dijadikan pusat pengumpulan) sebelum sebarang tindakan lanjut,” katanya. 

Menurut Ahmad, sebelum ini, sayur-sayuran dari Lojing akan ditempatkan di kawasan pengumpulan di Blue Valley, di Cameron Highlands dan kejadian lambakan tersebut hari ini mungkin berlaku disebabkan kekangan pergerakan kerana sesetengah kawasan berhampiran Cameron Highlands kini dikenakan PKPD.

“Kita perlu mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara berhubung perkara ini terlebih dahulu.

“Sekiranya sesuai, saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dalam usaha mengelakkan lambakan sayuran di pasaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.