Asma tidak terkawal, beban senyap dalam keluarga

Asma tidak terkawal, beban senyap dalam keluarga

Di Malaysia, lebih 1.4 juta orang dewasa dan hampir setengah juta kanak-kanak berumur enam hingga 17 tahun didiagnosis dengan asma.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari Asma Sedunia yang disambut setiap Selasa pertama bulan Mei oleh Global Initiative for Asthma (Gina) menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran terhadap penyakit itu di peringkat global.

Namun di Malaysia, penyakit asma masih kekal sebagai beban senyap apabila kawalannya yang tidak optimum terus menjejaskan kualiti hidup pesakit dan keluarga.

Pensyarah Kanan Sekolah Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan Taylor’s University, Dr. Sulaimann Tint Soe Lwin berkata, asma bukan sekadar penyakit pernafasan biasa yang datang sekali-sekala sebaliknya merupakan kondisi kronik yang mampu mengubah keseluruhan rutin kehidupan pesakit dan keluarga tanpa disedari.

Katanya, asma diklasifikasikan sebagai penyakit paru-paru radang kronik yang berpunca daripada keradangan saluran pernafasan, penyempitan serta hiperresponsif iaitu keadaan saluran pernafasan yang terlalu sensitif dan mudah bertindak balas terhadap pencetus tertentu.

“Di Malaysia, lebih 1.4 juta orang dewasa dan hampir setengah juta kanak-kanak berumur 6 hingga 17 tahun didiagnosis dengan asma sekali gus menunjukkan ia bukan isu terpencil dalam sistem kesihatan negara.

“Namun angka ini berkemungkinan tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana masih terdapat kes yang tidak didiagnosis atau tersalah diagnosis,” kata Dr. Sulaimann.

Walaupun rawatan moden tersedia, tahap kawalan asma dalam kalangan pesakit masih belum mencapai tahap memuaskan bagi kebanyakkan kes.

Keadaan ini menyebabkan kesan bukan sahaja kepada simptom fizikal seperti sesak nafas dan batuk malah melibatkan tekanan emosi, psikologi dan beban kewangan berpanjangan.

Beban Senyap dalam Rumah Tangga

Bagi ibu bapa pula setiap perubahan kecil pada pernafasan anak boleh mencetuskan rasa cemas yang berterusan lebih-lebih lagi apabila ia berlaku pada waktu malam yang bukan sahaja mengganggu tidur pesakit malah ia turut menjejaskan rehat ahli keluarga lain yang terpaksa berjaga.

Keadaan ini mendorong kepada keletihan berpanjangan, tekanan emosi dan penurunan produktiviti dalam kehidupan harian dan bagi jangka panjang, ia memberi kesan langsung terhadap kualiti hidup keseluruhan keluarga pesakit asma.

Menurut Dr. Sulaimann, kanak-kanak akan berdepan cabaran perkembangan sosial dan emosi berikutan ketakutan terhadap pencetus seperti habuk, asap atau aktiviti fizikal menyebabkan mereka mengehadkan penyertaan dalam aktiviti bersama rakan sebaya.

Penggunaan inhaler di khalayak ramai atau simptom berulang turut menimbulkan stigma sosial dan akhirnya menjejaskan keyakinan diri serta membentuk rasa rendah diri dalam jangka masa panjang.

Bagi orang dewasa pula, simptom berterusan dan aktiviti harian yang dihadkan sering dikaitkan dengan rasa kecewa, kebimbangan dan kemurungan.

Kebimbangan Berterusan Dalam Kalangan Ibu Bapa

Menurut pegawai perubatan kesihatan awam, Dr Siti Noor Hidayah Abdul Halim, ibu bapa kepada kanak-kanak asma lazimnya hidup dalam keadaan berjaga-jaga kerana serangan asma boleh berlaku secara tiba-tiba terutama ketika anak sedang tidur atau berada jauh daripada mereka.

Katanya, kebimbangan itu menjadi lebih sukar apabila ramai ibu bapa tidak menyedari asma tidak semestinya hadir dalam bentuk sesak nafas semata-mata sebaliknya boleh berlaku melalui simptom seperti batuk berpanjangan dan nafas berbunyi yang datang secara berulang.

“Faktor persekitaran seperti habuk, asap rokok, jerebu serta wap rokok elektronik antara pencetus utama serangan asma terutama bagi kanak-kanak yang mempunyai saluran pernafasan yang sensitif.

“Asap rokok yang melekat pada pakaian walaupun selepas merokok di luar rumah masih boleh memberi kesan kepada anak-anak dan mencetuskan serangan asma apabila terdedah kepada bau tersebut secara berterusan,” ujarnya.

Walaupun asma tidak secara langsung menyebabkan masalah mental serius, penyakit kronik itu boleh menjadi satu daripada faktor yang mempengaruhi kestabilan emosi dan pembentukan keyakinan diri kanak-kanak.

Beliau turut menekankan pengurusan asma memerlukan disiplin dan pemantauan berterusan daripada ibu bapa termasuk memastikan anak menggunakan inhaler kawalan mengikut jadual bagi mengelakkan serangan asma berulang serta mengurangkan kebergantungan terhadap inhaler pelega.

Bagi orang dewasa pula, ramai pesakit cenderung memandang ringan simptom asma terutama apabila sibuk bekerja sehingga hanya mendapatkan rawatan selepas keadaan menjadi semakin teruk dan mula mengganggu aktiviti harian.

Katanya, ramai pesakit dewasa juga tidak menyedari tabiat merokok dan pendedahan berterusan terhadap asap rokok boleh menjadi pencetus utama masalah paru-paru termasuk asma dan penyakit Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD)

Justeru usaha menjaga kualiti udara serta menghentikan tabiat merokok perlu diperkukuhkan bagi mengawal penyakit pernafasan dalam masyarakat.

Kehidupan Berubah

Bagi seorang ibu yang mempunyai anak yang menghidap asma sejak berumur 11 tahun, Afidah Alias berkata, rutin hariannya berubah berikutan dia ingin memastikan kesihatan anaknya sentiasa terkawal.

Dia kini lebih peka terhadap perubahan kecil pada keadaan anak termasuk pada waktu malam termasuk batuk berpanjangan, nafas berbunyi dan tanda keletihan kerana simptom tersebut boleh menjadi petunjuk awal kepada serangan asma.

Situasi paling mencabar apabila serangan berlaku pada waktu malam sehingga memaksanya berjaga untuk memantau keadaan anak selain memastikan inhaler sentiasa berada berdekatan.

“Saya terpaksa mengehadkan beberapa aktiviti teetentu buat anak saya bagi mengelakkan serangan asma yang berulang dan memastikan kesihatan anak sentiasa terkawal,” ujarnya yang perlu menghantar anaknya berjumpa doktor pakar dua bulan sekali.

Dalam masa sama, Afidah berharap lebih ramai masyarakat memahami bahawa asma bukan sekadar penyakit biasa kerana ia memerlukan perhatian, disiplin rawatan dan sokongan berterusan daripada ahli keluarga terutama ibu bapa.

Tekanan Kewangan yang Tidak Disedari

Beban kewangan menjadi cabaran besar buat keluarga pesakit asma berikutan kos perubatan langsung seperti temu janji bulanan dengan pakar, rawatan kecemasan dan kemasukan ke hospital apabila serangan menjadi serius boleh menjadi tinggi.

Manakala bagi kos tidak langsung sering lebih besar walaupun kurang disedari ini termasuk pengangkutan ulang-alik hospital serta pembelian ubat dan inhaler.

Kanak-kanak dengan asma yang tidak terkawal lebih kerap ponteng sekolah dan mengalami penurunan prestasi akademik.

Keadaan ini menjadi lebih buruk apabila mereka mempunyai masalah tidur dan kesukaran memberi tumpuan dalam pembelajaran manakala bagi pesakit dewasa pula walaupun masih bekerja tahap produktiviti sering merosot akibat keletihan dan gangguan kesihatan.

Asma yang tidak dikawal dengan baik bukan sahaja memberi kesan jangka pendek malah berpotensi membawa komplikasi serius dalam jangka panjang seperti keradangan berterusan yang boleh menyebabkan perubahan struktur saluran pernafasan yang akhirnya menjejaskan fungsi paru-paru secara kekal.

Serangan asma yang teruk juga boleh meningkatkan risiko serangan berulang serta kemungkinan kematian jika tidak ditangani segera malah penggunaan steroid oral secara berulang juga boleh menyebabkan komplikasi seperti osteoporosis, penambahan berat badan dan gangguan metabolik.

Satu isu penting dalam pengurusan asma ialah ketidaktepatan diagnosis yang menjejaskan keberkesanan rawatan berikutan kajian menunjukkan sebahagian besar kes asma sebenar masih tidak didiagnosis terutamanya di kawasan dengan akses kesihatan terhad.

Kekurangan penggunaan ujian spirometri menjadi antara faktor utama masalah ini dan pada masa sama terdapat juga kes salah diagnosis yang menyebabkan rawatan tidak tepat diberikan.

Perbezaan Asma dan Tuberkulosis

Satu daripada kekeliruan paling kerap berlaku dalam kalangan ibu bapa ialah menyamakan simptom asma dengan tuberkulosis (Tibi) kerana kedua-duanya boleh hadir dengan batuk yang berpanjangan.

Menurut Dr. Hidayah, keadaan ini sering menyebabkan kegusaran apabila anak mengalami batuk yang tidak sembuh dalam tempoh lama sedangkan tidak semua batuk berpanjangan bermaksud

Tibi berikutan asma juga boleh menunjukkan simptom yang sama dalam bentuk episodik.

Perbezaan utama antara asma dan Tibi adalah dari segi corak simptom dan keadaan klinikal pesakit dengan asma biasanya datang dan pergi serta dipengaruhi pencetus seperti habuk, asap rokok atau wap rokok elektronik.

Bagi Tibi pula ia lazimnya menunjukkan simptom yang lebih konsisten seperti batuk berpanjangan yang berterusan, penurunan berat badan, demam berpanjangan dan peluh malam yang tidak berkait dengan pencetus persekitaran.

Menurutnya lagi, doktor perlu menjalankan diagnosis yang terperinci termasuk pemeriksaan fizikal dan ujian lanjut bagi memastikan sama ada simptom tersebut berpunca daripada jangkitan Tibi atau asma sebelum rawatan diberikan.

Dr. Hidayah menegaskan bahawa kekeliruan ini penting untuk dielakkan kerana pendekatan rawatan bagi kedua-dua penyakit adalah berbeza dan diagnosis yang tepat juga amat penting agar pesakit menerima rawatan yang sesuai serta berkesan.

Ke Arah Kawalan Lebih Baik

Justeru, diagnosis awal dan tepat merupakan langkah paling penting dalam memastikan pengurusan asma yang berkesan serta pematuhan terhadap rawatan penyelenggaraan khususnya kortikosteroid sedutan terbukti mengurangkan serangan asma.

Pendidikan pesakit juga perlu diperkukuh melalui pelan tindakan asma bertulis dan latihan penggunaan inhaler yang betul serta klinik penjagaan primer seperti Klinik Kesihatan perlu memainkan peranan penting dalam pemantauan berterusan.

Ahli farmasi dan petugas kesihatan komuniti juga memainkan peranan dengan membantu melalui kaunseling dan pemantauan manakala usaha meningkatkan kualiti udara termasuk pengurangan tabiat merokok turut penting kerana ia merupakan antara faktor pencetus utama asma.

Melalui diagnosis awal, rawatan yang konsisten dan sokongan sistem kesihatan yang kukuh asma boleh dikawal dengan lebih baik tanpa menjejaskan kehidupan seharian pesakit dan keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN