MEKAH: ‘Kami serahkan ibu ayah kami kepada Tabung Haji ya.’
Demikian antara komen diterima Lembaga Tabung Haji (TH) yang menyentuh hati dan menggambarkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap amanah mengurus dan menjaga kebajikan jemaah di Tanah Suci.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, ungkapan ringkas daripada waris jemaah itu membawa makna besar kepada seluruh petugas haji negara.
“Begitu besarnya amanah yang kita galas jika kita selami sedalamnya kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan oleh anak-anak jemaah kepada kita semua.
“Mereka ini bukan sekadar jemaah haji, tetapi ibu bapa dan saudara-mara kita sendiri. Santunilah mereka sebaik dan seikhlas mungkin dengan jiwa yang tenang dan hati yang lapang,” katanya dalam nada sebak ketika menyampaikan amanat kepada petugas haji TH di sini semalam.
Dalam pada itu, Mustakim berkata, tahap kepuasan jemaah haji Malaysia terhadap perkhidmatan TH juga terus menunjukkan peningkatan apabila Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) musim haji lalu mencapai 93 peratus, melepasi sasaran asal sebanyak 85 peratus.
Katanya, pencapaian itu merangkumi CSI Operasi Haji Tanah Air Fasa 1 sebanyak 97 peratus, Madinah (95 peratus), Mekah termasuk Masya’ir (85 peratus) serta Operasi Haji Tanah Air Fasa 2 sebanyak 96 peratus.
“Ini membuktikan komitmen dan disiplin tinggi petugas haji, pematuhan kepada SOP dan standard ISO serta semangat kerja berpasukan yang menjadi kekuatan utama operasi haji negara,” katanya
Katanya, kualiti perkhidmatan yang diberikan TH bukan dibina dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil pengalaman lebih 60 tahun menguruskan operasi haji rakyat Malaysia.
Katanya, sepanjang tempoh itu, pelbagai cabaran dan ujian berjaya diharungi dengan baik hasil usaha berterusan serta komitmen semua pihak terlibat.
“Ramai mungkin tidak sedar bahawa perkhidmatan Tabung Haji sebenarnya bertaraf dunia. Kita telah menerima Anugerah Labaytum daripada Kerajaan Arab Saudi sebanyak empat kali dalam tempoh empat tahun.
“Insya-Allah, kita akan terus berusaha memastikan pengiktirafan itu kekal menjadi milik Tabung Haji bagi musim haji 1447 Hijrah,” katanya. – UTUSAN










