PASIR MAS: Demi meneruskan cita-cita ke menara gading, seorang gadis lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mengambil upah mengelim baju dengan bayaran RM2 sehelai bagi mengumpul wang untuk membayar yuran pengajian di Matrikulasi Kelantan.
Alia Batrisyia Mazlan, 18, berkata, dia membantu ibunya, Juhaida Mohd. Nor, 48, menjahit pakaian kerana wanita itu menghidap asma kronik.
Katanya, pendapatan ibunya sekitar RM500 sebulan daripada upah menjahit menyebabkannya bertekad membantu keluarga selain menyimpan wang bagi tujuan pengajian.
“Kalau kelim baju, saya yang buat. Upah RM2 sehelai itu saya kumpul untuk bayar yuran pengajian.
“Meskipun sudah lama menyimpan wang, jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk membayar yuran pengajian sebanyak RM499,” katanya ketika ditemui di rumahnya semasa menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Thirdforce Pasir Mas di Kampung Simpol, di sini semalam.
Dalam kunjungan itu, Thirdforce Pasir Mas menyumbangkan seunit komputer riba selain menjelaskan yuran pengajiannya hasil sumbangan orang ramai.
Alia Batrisyia yang juga anak sulung daripada dua beradik berkata, dia juga perlu membuat persiapan lain termasuk membeli kelengkapan untuk menyambung pengajian ke matrikulasi.
Katanya, bapanya, Mazlan Mohd. Nor, 53, yang merupakan orang kurang upaya (OKU), sudah lama tidak dapat menoreh getah selepas hilang ingatan akibat pendarahan dalam kepala susulan kemalangan tiga tahun lalu.
“Saya perlu melapor diri pada 7 Jun ini. Dengan keputusan SPM 8A, 2B dan 1C, saya akan mengikuti pengajian Matrikulasi Sains,” ujarnya. –UTUSAN










