100 pesawah bimbang padi rosak - Utusan Malaysia

100 pesawah bimbang padi rosak

MOHAMMAD Nazrin Zainon menunjukkan kawasan sawah padi yang diusahakan penduduk di Kampung Baru, Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Kira-kira 100 pesawah di kawasan seluas 200 hektar di kaki Puncak Janing di sini bimbang tanaman padi terjejas jika aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Lipur Bukit Perangin dilakukan di kawasan tersebut.

Kerja-kerja pembalakan boleh merosakkan tanaman kerana kawasan sawah menggunakan air yang dibekalkan dari Puncak Janing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohammad Nazrin Zainon, 41, berkata, kawasan tanaman padi yang menggunakan sumber air dari Puncak Janing itu meliputi Kampung Pasir Putih, Kampung Tengah, Kampung Baru, Kampung Masjid, Kampung Labi, Kampung Bendang Raja dan Pengkalan Tok Putih di sini.

Menurutnya, penduduk percaya bekalan air dari Puncak Janing itu akan menjadi keruh dan berselut sekiranya aktiviti pembalakan dijalankan.

“Keadaan tersebut akan mengancam tanaman padi yang diusahakan kerana selama ini bergantung sepenuhnya kepada sumber bekalan air Puncak Janing,” katanya.

Pada 16 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan lebih 1,000 penduduk di tiga buah kampung di Kuala Nerang di sini mendakwa terpaksa menggunakan air keruh bagi keperluan harian selepas kolam tadahan air bukit di Taman Eko Rimba (TER) juga di Puncak Janing tercemar sebulan lalu.

Penduduk di tiga kampung terbabit iaitu Kampung Pasir Putih, Kampung Tengah dan Kampung Baru mendakwa, pencemaran tersebut berlaku akibat aktiviti penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama di kawasan Hutan Simpan Lipur Bukit Perangin.

Mohammad Nazrin menambah, mereka tidak menolak kemungkinan aktiviti pembalakan akan dilakukan di kawasan hutan simpan itu berdasarkan kerja-kerja tanda garisan pada sejumlah pokok balak dilakukan di kawasan hutan simpan tersebut sebelum ini.

“Walaupun Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) telah mengarahkan aktiviti penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama di hutan simpan itu dihentikan serta-merta, namun mereka bimbang pembalakan akan dijalankan selepas ini berdasarkan kerja-kerja tanda pokok balak yang dilakukan itu,” katanya.

Katanya, penduduk meminta JPNK memberi jaminan tidak akan berlaku aktiviti pembalakan di kawasan hutan berkenaan selepas ini demi menjaga kualiti air di Puncak Janing.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam (PEKA) Kedah, Mohd. Sobri Ramlee berkata, pihaknya menerima aduan penduduk yang mendakwa bimbang tidak dapat meneruskan penanaman padi di kawasan itu sekiranya aktiviti pembalakan tersebut dijalankan nanti.

Jelasnya, penduduk tidak mahu kawasan sawah mereka akan dipenuhi dengan selut dari kawasan pembalakan.

“JPNK perlu melakukan Kajian Impak Sosial (SIA) terlebih dahulu sebelum aktiviti pembalakan di kawasan itu diluluskan bagi memastikan sumber bekalan air penduduk berdekatan untuk kegunaan harian dan pertanian tidak terancam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya