Ahmad Zahid sahkan pertemuan UMNO-Pas, bukan libat kepimpinan tertinggi

Ahmad Zahid sahkan pertemuan UMNO-Pas, bukan libat kepimpinan tertinggi

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan wujud pertemuan antara wakil UMNO dan Pas malam tadi namun menegaskan ia tidak membabitkan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pertemuan itu lebih menjurus kepada perbincangan mengenai kerjasama dan usaha memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.

“Pertemuan itu bukannya melibatkan sebarang keputusan atau rundingan rasmi di peringkat tertinggi parti.

“Atas sebab itu, pintu kami sentiasa terbuka bukan hanya untuk mengadakan perbincangan politik tetapi juga perbincangan mengenai agenda nasional yang harus diterjemahkan bersama,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan Hari TVET Negara 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai pertemuan wakil parti berkenaan, malam tadi.

Mengulas dakwaan kononnya Pas mengajak UMNO untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional, Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.

Menurutnya, walaupun pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam landskap politik yang dinamik, sebarang bentuk kesefahaman baharu masih terlalu awal untuk dimuktamadkan.

“Keutamaan BN dan UMNO ketika ini adalah memastikan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) serta gabungan dari Sabah dan Sarawak terus kekal sehingga tamat penggal Parlimen ke-15,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Hadi Awang mengesahkan pemimpin parti itu dan UMNO mengadakan pertemuan malam tadi dipercayai bagi mewujudkan Muafakat Nasional (MN) 2.0.

Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun tidak memberi butiran terperinci mengenai lokasi dan tujuan pertemuan tersebut dengan menyifatkannya sebagai ‘pertemuan biasa’.

Terdahulu, tular gambar dalam media sosial memaparkan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad tiba di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang dikatakan sebagai lokasi Mesyuarat Biro Politik UMNO berlangsung, malam tadi.

Ia mencetuskan spekulasi pemimpin kedua-dua parti itu mengadakan pertemuan untuk berbincang mengenai cadangan menghidupkan kembali MN 2.0. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN