PUTRAJAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan masih wujud ruang ‘rundingan’ antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ruang rundingan itu belum tertutup biarpun PH sebelum ini memaklumkan mereka ingin bergerak ‘solo’.
“Kita bersedia menghadapi pilihan raya di Negeri Sembilan ini biarpun itu adalah keputusan daripada pentadbiran kerajaan negeri melalui parti-parti komponen di dalam PH.
“Dan tentunya kita sangat terbuka, bukan sahaja untuk terus mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan Hari TVET Negara 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada BN akan bertanding solo sebagaimana di PRN Johor susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, malam tadi.
Jelasnya lagi, masih terlalu awal untuk menutup sebarang pintu rundingan dengan mana-mana parti dalam komponen PH.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Aminuddin dilaporkan berkata, soal pembahagian kerusi antara parti komponen PH telah selesai dan mereka membuat keputusan untuk bertanding di kesemua 36 kerusi DUN.
habis.










