PUTRAJAYA: Hubungan kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan masih erat dan tidak terjejas, meski pun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan akan datang.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada hari ini juga berjalan lancar seperti biasa.
“Tidak ada kesan terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan mesyuarat Jemaah Menteri pada pagi tadi juga berjalan dengan lancar seperti biasa dalam suasana mahabbah dan rasa hormat.
“Ia seperti biasa, tidak ada kesan kepada hubungan yang erat di kalangan pimpinan di peringkat Persekutuan,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Menteri Komunikasi itu berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan ketika ini masih erat atau sebaliknya, susulan keputusan BN dan PH yang mahu bergerak solo pada dua PRN akan datang.
Sementara itu, ditanya mengenai kewajaran untuk melaksanakan PRN ketika kerajaan sedang mengambil langkah berjimat-cermat ekoran krisis tenaga global yang melanda, Fahmi menjelaskan bahawa kedua-dua negeri berkenaan telah pun mendapat perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ya, memang ada beberapa pihak termasuk di media sosial yang mempersoal kewajaran untuk mengadakan PRN pada waktu ini, terutama ketika Malaysia berdepan dengan cabaran ekonomi akibat daripada konflik Asia Barat.
“Pada masa sama, kedua-dua negeri Johor dan Negeri Sembilan, permohonan daripada Menteri Besar kedua-dua kerajaan negeri tersebut (untuk membubarkan DUN) telah diperkenan oleh raja yang berdaulat. Di Johor, Pemangku Sultan Johor dan di Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar, jadi DUN telah terbubar, kita lalui proses,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, pertemuan antara pemimpin parti PAS dan UMNO yang dipercayai berlangsung semalam tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Tak dibincangkan, mungkin boleh tanya esok sewaktu mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR ,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai reaksi PKR dan PH berhubung pertemuan antara UMNO-PAS, semalam.
Terdahulu, media melaporkan Presiden PAS, Tan Sri Abdullah Hadi Awang mengesahkan pertemuan antara pemimpin parti itu dan UMNO malam tadi, ketika spekulasi kerjasama Muafakat Nasional (MN) 2.0 hangat diperkatakan.
Tambah Fahmi lagi, MPP PKR akan mengadakan mesyuarat bulanan di Johor esok dan sebarang keputusan berhubung status Kongres Tahunan parti itu bakal diputuskan pada mesyuarat itu. – UTUSAN










