PUCHONG: Pakatan Harapan (PH) sudah membuat persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya, termasuk berkaitan jentera parti.
“Seperti biasa kita bincang perkembangan di Johor (dan) keperluan kuatkan pasukan. Kemudian pada masa itu, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan (yang) sekarang sudah bubar jadi kita siapkan (untuk) PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“Setakat laporan semalam, kita buat (persiapan) sedaya upaya kita walaupun untuk Johor itu notisnya singkat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Solat Jumaat di Masjid Meranti, Jalan Pulau Meranti, di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau sebelum ini telah menyampaikan nasihat supaya setiap kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat sebelum memanggil pilihan raya.
“Pada masa itu saya menyeru rakan-rakan pimpinan kerajaan untuk tumpu soal ekonomi, masalah rakyat.
“Kita ada masa, tumpu dua ke tiga bulan ini, pulihkan balik kemudian pilihan raya lah tetapi kerana Johor memutuskan segara, kita terpaksa lalui,” katanya.
Malaysia yang masih bergelut dengan cabaran ekonomi susulan gangguan rantaian bekalan global bakal berdepan dua PRN iaitu di Johor dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
Ini susulan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Sementara itu, Anwar enggan mengulas mengenai usaha Pas untuk menubuhkan Perikatan Nasional (PN) Plus (PN+) yang dikatakan membabitkan penggabungan parti-parti komponen sedia ada dengan beberapa parti politik lain.
“PN Plus atau minus, saya tak campur, saya banyak kerja lain,” katanya. – UTUSAN
CAPTION
ANWAR Ibrahim beramah mesra bersama jemaah selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Meranti, Puchong, Selangor, hari ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO










