Zionis kian runtuh, Nusantara kian bersatu - Utusan Malaysia

Zionis kian runtuh, Nusantara kian bersatu

Kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan satu langkah awal ke arah penyatuan Rumpun Nusantara dalam isu Palestin-Israel. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Zionisme adalah tragedi umat manusia. Ideologi rasis yang muncul pada penghujung abad ke-19 itu turut diasaskan oleh seorang warga United Kingdom bernama William Hechler. Beliau seorang Kristian beraliran Evangelical. Maka tidak hairanlah majoriti penganut Kristian aliran tersebut terutama di Amerika Syarikat amat mendukung negara haram Israel. Mereka percaya kehadiran kali kedua Nabi Isa a.s. (Jesus Christ) dapat dipercepatkan jika mereka bantu kaum Yahudi Zionis berkuasa di tanah suci Baitulmaqdis.

Perlu diketahui, tidak semua etnik Yahudi menyokong ideologi Zionis. Ada yang cukup lantang menentangnya seperti komuniti Yahudi Ultra Ortodoks. Malah, Yahudi sekular kebanyakannya berhaluan kiri turut menolak ideologi apartheid Zionis seperti kumpulan Jewish Voice for Peace yang wujud sejak 1996. Oleh kerana itu, menentang Zionis bukanlah bermaksud anti-kaum Yahudi secara keseluruhan atau anti-semitik.

Bagi meningkatkan lagi populasi negara haram Israel secara drastik, maka usaha yang giat sedang dijalankan oleh puak Zionis untuk membawa masuk imigran-imigran berdarah Yahudi dari segenap penjuru dunia termasuklah Yahudi kulit hitam dari Ethiopia.

Ironinya, wujud pula beberapa aduan kes perkauman dan diskriminasi terhadap kelompok Yahudi dari Afrika tersebut yang dilakukan oleh warga Israel terutama dari kelompok Yahudi asal Eropah (Ashkenazi) yang berkulit cerah.

Tidak cukup dengan itu, keturunan Bani Israel yang ditakrifkan ‘hilang’ dalam sejarah juga cuba dihidu oleh puak Zionis ini tadi agar kelompok berkenaan dihasut untuk berhijrah ke negara haram Israel. Antara yang cuba dihasut ialah etnik Pashtun di Afghanistan dan Pakistan kerana nenek moyang mereka adalah Bani Israel yang memeluk Islam di zaman Rasulullah.

Pencerobohan pasukan bersenjata Zionis terhadap Al-Quds di penghujung Ramadan lalu hingga menyebabkan ramai warga Palestin yang sedang beribadat cedera dan ditangkap, serta serangan tentera Zionis terhadap Gaza yang membunuh ratusan nyawa termasuk puluhan kanak-kanak adalah titik kesedaran manusia seluruh dunia bahawa Zionis ini pengganas sebenar. Berkat media sosial dan teknologi komunikasi dunia tanpa sempadan, kezaliman Zionis tidak dapat ditutup lagi.

Warga dunia mula bangkit menyuarakan penolakan terhadap Zionisme. Gerakan boycott, divestment and sanctions (BDS) untuk memberi impak terhadap kekuatan ekonomi Israel makin mendapat sokongan. Zionis kini hilang kawalan terhadap naratif untuk meraih simpati dunia melalui propaganda lapuk mereka yang menjadikan holocaust sebagai lesen ‘kekebalan’ setiap perbuatan negara haram Israel terhadap insan lain.

Adalah wajar kita sebagai umat Islam dalam negara majmuk seperti Malaysia mengajak semua pihak tanpa mengira kaum dan agama menentang Zionis. Setiap program atau majlis mengenai Palestin harus disertai oleh wakil-wakil dari komuniti bukan Islam. Mereka perlu tahu bahawa warga Palestin juga ada yang beragama Kristian aliran Ortodoks dan Katolik yang turut ditindas Zionis.

Apa yang pernah disuarakan oleh Henry Ford, pengasas kereta Ford pada awal abad lepas melalui bukunya, The International Jew ada kebenarannya. Gerakan Zionis ini tidak hanya berkisar untuk menguasai tanah Palestin tetapi untuk membentuk Tata Dunia Baharu yang dikawal sepenuhnya oleh sekelompok kecil golongan elit yang amat berkuasa.

Jadi, perjuangan pembebasan Palestin ini bersifat universal. Ia hanyalah salah satu daripada begitu banyak manipulasi, konspirasi dan dominasi Zionisme dalam hampir segenap elemen kehidupan moden manusia hari ini. Dari sistem ekonomi dan kewangan dunia, hinggalah kepada teknologi media serta senjata. Umat Islam tidak wajar bersendirian dalam menentang empayar ideologi zalim ini. Kekejaman Zionis terhadap Palestin hanyalah pucuk bongkah ais yang boleh kita lihat dengan nyata. Selebihnya ia cuba diselindung oleh proksi-proksi Zionis seluruh dunia termasuklah keluarga kartel-kartel minyak di Asia Barat. Ingat apa pengakhiran Raja Faisal Arab Saudi apabila baginda menyeru sekatan minyak terhadap dunia Barat yang pro-Zionis ketika itu? Nyawanya menjadi ganti.

Sebagai tindak balas dan manifestasi penentangan terhadap tentera Zionis yang mengganas di Gaza baru-baru ini, maka penggodam dari Malaysia diketuai oleh kumpulan DragonForce Malaysia bersama para pengguna media sosial tempatan melancarkan serangan siber terhadap sistem kamera litar tertutup (CCTV), keselamatan dan laman-laman pro-Zionis di internet.

Serangan siber itu mendapat liputan meluas terutama oleh media-media Indonesia hingga turut disokong oleh warga negara jiran kita tersebut. Mereka rela mempertahankan negara kita andai terjadi sabotaj daripada pihak Zionis yang ternyata telah ‘koyak’ di alam siber. Malaysia, sepertimana Qatar, Iran dan Turki telah dimasukkan dalam senarai tindakan penghapusan anggota Hamas oleh pihak tentera Israel melalui satu laporan media.

Kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan satu langkah awal ke arah penyatuan Rumpun Nusantara apabila beliau bersama Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah buat julung kalinya mengeluarkan kenyataan bersama mengecam Zionis atas jenayah perang terhadap warga Gaza, baru-baru ini.

Sudah tiba masanya Rumpun Nusantara dari kepulauan Indonesia, Semenanjung hingga ke Borneo termasuklah Filipina yang majoriti rakyatnya beragama Kristian Katolik memainkan peranan proaktif dalam usaha umat manusia menentang ideologi apartheid rasis yang bernama Zionisme tersebut.

Inilah masanya kita bersatu!

Dr. Muhammad Faiz Na’aman ialah Timbalan Pengerusi, Sektor Penyelidikan, Penerbitan & Antarabangsa, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN