SELEPAS Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menerajui Terengganu selama 25 tahun dari 1974 hingga 1999, rekod pemimpin UMNO itu sukar disaingi.
Malah, menteri-menteri besar selepas beliau hanya mampu bertahan sepenggal. Keruntuhan Barisan Nasional (BN) membolehkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil alih kedudukan itu pada 1999, namun Pas ditolak dan BN kembali menguasai Terengganu. Kemenangan besar BN yang meraih 28 daripada keseluruhan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya
Umum Ke-11 (PRU-11) itu membolehkan Datuk Seri Idris Jusoh dilantik sebagai Menteri Besar.
Idris sekali lagi mempertahankan gelombang biru UMNO di Terengganu pada pilihan raya seterusnya tetapi cadangan pelantikan beliau tidak diperkenan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) dan kemudian diserahkan kepada ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.
Bagaimanapun, Ahmad meletak jawatan pada Mei 2014, setahun selepas PRU-13 berikutan BN hilang dua pertiga majoriti apabila hanya memenangi 17 kerusi DUN manakala Pakatan Rakyat pula 15 kerusi dengan 14 daripadanya milik Pas manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula satu kerusi.
Kekosongan ditinggalkan itu kemudian diisi ADUN Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebelum kuasa beralih kembali kepada Pas pada PRU-14.
ADUN Rhu Rendang, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang pertama kali dipertaruhkan Pas kemudian dipilih sebagai menteri besar baharu.
Adakah beliau juga akan mengulangi tradisi Menteri Besar sepenggal seperti pemimpin terdahulu?
Penolakan rakyat terhadap Ahmad Samsuri makin ketara sejak akhir-akhir ini. Sekiranya tiada pertukaran menteri besar sehingga habis penggal, kemungkinan teknokrat Pas itu bakal bertukar ke kerusi Parlimen pada PRU akan datang.
Semasa awal pelantikannya, ramai berpandangan beliau mampu mengemudi Terengganu dengan latar belakang dan perwatakannya yang tenang, tetapi tanggungjawab di peringkat nasional termasuk sebagai ketua pasukan perunding yang dilantik Pas berhubung soal agihan kerusi dengan Perikatan Nasional (PN) menampakkan Ahmad Samsuri tidak fokus kepada negeri.
Malah, ada yang melihat seolah-olah beliau tiada dasar yang jelas dan menyepi apabila rakyat memerlukan pembelaan.
Di samping itu, desas-desus mula kedengaran, tindaktanduk beliau turut tidak menyenangkan istana. – UTUSAN











