TNB Johor laksana Op Raya 2021 - Utusan Malaysia

TNB Johor laksana Op Raya 2021

MOHD. Isran Che Mustapha (dua dari kanan) menyantuni penerima bantuan sempena Program Berbuka Puasa Pengurusan TNB Johor bersama Golongan Asnaf di Batu Pahat, Johor. - UTUSAN/NUR NABILAH RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor melaksanakan Op Raya 2021 bagi memastikan semua pengguna termasuk kira-kira 1.2 juta pemilik akaun domestik di negeri ini menikmati bekalan elektrik yang stabil sepanjang Aidilfitri kali ini.

Ketua Aset Zon Selatan TNB Johor, Mohd. Isran Che Mustapha berkata, pasukannya di seluruh daerah diletakkan di bawah keadaan bersiap siaga selama 24 jam sehari bagi melayani penggunaan bekalan elektrik yang dijangka naik secara mendadak.

“Pasukan teknikal merangkumi jurutera dan juruteknik bagi sistem voltan rendah (LV) dan voltan tinggi (HV) akan berada dalam keadaan tunggu sedia di semua lokasi cawangan di negeri ini.

“Kita akan memastikan bekalan elektrik terjamin mencukupi sebelum dan semasa musim perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina atau perayaan lain kerana ketika itu penggunaan elektrik akan naik secara mendadak.

“Kita telah kenal pasti kawasan-kawasan yang menggunakan elektrik terlalu tinggi seperti di kawasan perkampungan Felda atau taman perumahan,” katanya dalam sidang akhbar Program Berbuka Puasa Pengurusan TNB Johor bersama Golongan Asnaf, di sini, semalam.

Mohd. Isran berkata, untuk pertama kali di negeri ini, pihaknya menubuhkan Distribution Command Tower (DCT) yang berfungsi memantau dan melancarkan operasi termasuk pengagihan elektrik ke kawasan yang mendapat permintaan tinggi atau yang mengalami gangguan bekalan.

“TNB sudah mengambil persediaan dengan lebih awal secara teknikal bagi memastikan semua pengguna menikmati bekalan elektrik secara berterusan.

“DCT ini adalah yang kedua ditubuhkan di negara ini selepas di Kuala Lumpur yang berpusat di Kempas, Johor Bahru dan beroperasi 24 jam mengikut jadual pergiliran melibatkan kakitangan TNB yang akan mengawal atau menyelenggara sistem LV dan HV,” katanya.

Katanya, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa daerah di Johor dan pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan, pihaknya menjangkakan aduan kes-kes yang berkaitan bekalan elektrik tidak setinggi kebiasaan.

“Jika sebelum ini orang ramai akan pulang ke kampung untuk menyambut hari raya dan penggunaan elektrik di kawasan yang berkaitan menjadi semakin tinggi sehingga terputus bekalan elektrik,” katanya.

Katanya, orang ramai juga tidak perlu gusar dengan situasi bil melambung seperti PKP pada tahun lalu, kerana kali ini pembaca meter turun padang melakukan bacaan meter.

Sementara itu, dalam program berkenaan TNB Johor menyampaikan sumbangan barang keperluan harian kepada 20 orang asnaf di daerah Batu Pahat bagi persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya