Terus bantu Palestin - Utusan Malaysia

Terus bantu Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keganasan tentera zionis Israel yang turut menjadikan kawasan penempatan awam termasuk sekolah sebagai sasaran bedilan roket mereka menyerlahkan lagi kekejaman dan sikap tidak berperikemanusiaan mereka terhadap rakyat Palestin.

Serangan yang dimulakan oleh tentera zionis pada malam 27 Ramadan lalu melengkapkan hati kaudu yang memang ditanam dalam setiap diri mereka. Malangnya, masyarakat Islam dunia hanya mampu mengecam tindakan kejam Israel.

Setakat ini, belum ada tindakan yang dilihat berkesan ada diambil oleh negara-negara Islam dalam membantu menghentikan jenayah antarabangsa Israel. Yang agak lantang bersuara nampaknya ialah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Pada 18 Mei lalu di Ankara, Erdogan berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ‘bertanggungjawab’ di atas sokongannya terhadap Israel dalam konflik yang memuncak di Semenanjung Gaza.

Komen Presiden Turki itu antara serangan paling keras terhadap Biden sejak memulakan tugasnya di Rumah Putih, Januari lalu.

Bagi umat Islam Malaysia, kita sentiasa menyokong perjuangan umat Islam Palestin dalam membebaskan Masjid Al-Aqsa dan mengembalikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara. Sebab itu, kita mengalu-alukan kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, baru-baru ini.

Hishammuddin akan menyuarakan gesaan Malaysia agar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan lebih tegas dan melaksanakan usaha semaksimum mungkin demi melindungi rakyat Palestin daripada keganasan Israel.

Ini menepati sifat orang Muslim dalam bab kasih sayang. Ia sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya). (Riwayat Muslim)

Sememangnya, umat Islam di Palestin sudah lama berjuang. Sudah lebih tujuh dekad. Bagi mereka perjuangan menghadapi rejim zionis ini adalah kewajipan sama ada dengan bantuan masyarakat antarabangsa atau tidak.

Itulah yang ditegaskan oleh Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Isa dalam petemuan dengan Utusan Malaysia, kelmarin.

“Kami akan terus berjuang mempertahankan tanah air kami, mencapai kebebasan daripada Israel. Matlamat utama adalah membebaskan Masjid al-Aqsa agar semua orang Islam boleh solat di dalamnya pada bila-bila masa,” jelasnya.

Beliau memberitahu, keadaan di Gaza bertambah buruk dengan ramai yang kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berteduh di premis awam seperti sekolah.

“Namun, tentera zionis turut menjadikan kawasan awam tersebut sebagai sasaran bedilan roket mereka sekali gus menambahkan lagi bilangan orang awam yang terbunuh dan cedera.

“Saya minta seluruh umat Islam ambil pendekatan praktikal membantu kami berhadapan jenayah antarabangsa yang dilakukan oleh Israel,” jelasnya.

Namun, kita menyedari bahawa perjuangan menentang zionis ini ibarat perang belah sebelah. Apa tidaknya, Israel mempunyai kekuatan tentera yang luar biasa.

Dilengkapi pesawat-pesawat pejuang termasuk F-16 dan pelbagai lagi roket selain memiliki senjata biologi. Sedangkan, rakyat Palestin hanya berjuang dengan batu-batu.

Jumlah kematian akibat serangan tentera zionis bermula 7 hingga 19 Mei lalu sehingga pukul 1 tengah hari waktu tempatan adalah 241 syahid manakala 7,802 lagi cedera.

Walid berkata, pasukan perubatan di Palestin juga sedang bertungkus-lumus memberi bantuan dan rawatan kepada mereka yang cedera dalam keadaan kemudahan yang terbatas.

“Kami juga sedang melawan pandemik Covid-19 dan sekarang ditambah dengan masalah oleh Israel. Bagaimana kami mahu merawat pesakit Covid-19 dan sekarang ditambah dengan ribuan mangsa-mangsa cedera akibat serangan Israel,” katanya.

Sebab itu, masyarakat Malaysia mesti terus membantu rakyat Palestin. Biarpun kita tidak mampu menggalas senjata untuk melawan zionis tetapi banyak cara lain untuk berbuat demikian.

Antaranya menghulurkan sumbangan kepada saudara seagama di sana. Gunalah apa juga saluran yang diyakini. Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara kita yang menyediakan saluran untuk membantu Palestin.

Selain terus mendoakan mereka termasuk membaca qunut nazilah setiap kali solat fardu, hulurkan wang ringgit untuk membantu meringankan beban mereka. Bayangkan jika 10 juta umat Islam di Malaysia menyumbang minimum RM10, maka kita mengumpul RM100 juta.

Selain itu, kita juga boleh membantu kira-kira 1,000 rakyat Palestin yang menuntut di institusi pengajian tinggi kita. Bayangkanlah gejolak dalam jiwa mereka. Bagaimana mahu menumpu perhatian kepada pengajian apabila memikirkan nasib ibu bapa dan keluarga yang setiap hari dibedil dengan roket di Palestin.

Bagi yang berkemampuan, bolehlah menaja pengajian atau kos sara hidup mereka. Dalam keadaan sekarang, bukan nilai jadi ukuran tetapi kesanggupan kita sebagai umat Islam membantu saudara seagama yang dalam kesusahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN