Tahap penggunaan katil cecah 75 peratus - Utusan Malaysia

Tahap penggunaan katil cecah 75 peratus

DR. DHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memberi jaminan pihaknya sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi pertambahan pesakit baharu Covid-19 di seluruh negara dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, buat masa ini, kadar penggunaan katil bagi tujuan berkenaan sudah pun mencecah tahap 75 peratus daripada kapasiti keseluruhannya.

“Ini meliputi lebih 140 buah hospital awam di bawah kementerian di samping puluhan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negara kita,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di pejabatnya di sini hari ini yang turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga semalam, terdapat 9,689 katil di hospital dan 25,605 katil di PKRC disediakan kementerian khusus bagi menempatkan pesakit wabak berkenaan.

Bagaimanapun, ujar Adham, ada negeri yang sudah menghampiri paras 100 peratus iaitu di Johor, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Selangor ekoran peningkatan mendadak kes itu.

“Sehubungan itu, kita telah menukar kegunaan katil di wad biasa kepada katil Covid-19 selain menambah katil di ICU (Unit Rawatan Rapi) yang diambil daripada katil wad biasa,” katanya.

Pihaknya kata beliau, turut mendapat kerjasama baik daripada hospital pengajar Kementerian Pengajian Tinggi yang bersetuju fasiliti mereka digunakan untuk pesakit pandemik tersebut.

Antaranya Pusat Perubatan Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan terbaharu Universiti Kebangsaan Malaysia di ibu negara.

Pada masa sama, jelas Adham, pihak kementerian itu juga menyambut baik kesediaan 110 buah hospital swasta khususnya di Lembah Klang yang bersetuju merawat pesakit Covid-19.

“Ia melibatkan sejumlah 1,173 katil wad dan 119 katil ICU kerana ada pesakit yang memohon menerima rawatan di hospital swasta dengan sanggup bayar caj lebih tinggi,” tambah beliau.

Justeru, dengan persediaan rapi melibatkan jumlah katil yang lebih banyak, beliau amat yakin sistem penjagaan kesihatan awam di negara ini masih efisien menguruskan pesakit baharu.

Namun, pada waktu yang sama, beliau memohon kerjasama masyarakat untuk kekal mematuhi norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengawal penularan.

Langkah ini kata Adham, termasuk dengan cuba mengurangkan aktiviti pergerakan di luar rumah kerana dibimbangi mungkin terkena jangkitan daripada varian baharu Covid-19 lebih teruk. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya