PUTRAJAYA: Tindakan kerajaan memperketatkan semula prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 25 Mei ini bertujuan mengawal pergerakan orang ramai di luar rumah.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu penting dalam mengekang penularan wabak Covid-19 termasuk dengan melaksanakan kembali dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dan mengehadkan masa perniagaan.
“Justeru, kedai hanya dibuka dari pukul 8 pagi hingga 8 malam berbanding sebelum ini dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Langkah tegas itu bagaimanapun tidak melibatkan kedai farmasi yang masih dibenar dibuka sehingga 10 malam manakala stesen minyak di lebuh raya dibolehkan beroperasi 24 jam.
Beliau menyatakan pengehadan waktu itu turut meliputi kompleks beli-belah, namun sekatan ini hanya berkuat kuasa di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Usaha itu ujar Ismail Sabri, antara langkah kerajaan untuk memperketat semula SOP sektor ekonomi sejajar PKP 3.0 yang dilaksanakan kembali di negara ini sejak 12 Mei lalu.
Begitu juga BDR katanya, apabila hanya 20 peratus penjawat awam dibenarkan datang ke tempat kerja manakala baki melibatkan 750,000 orang lagi bertugas dari kediaman.
“Bagi sektor swasta, kerajaan bersetuju cuma 40 peratus akan melaksanakan BDR yang membabitkan 6.1 juta pekerja dan 60 peratus lagi hanya petugas bahagian operasi dan pengurusan,” katanya.
Sementara itu dalam sidang akhbar yang sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pemakaian dua pelitup muka digalakkan kerana berkemampuan menapis sebanyak 95 peratus virus sekali gus melindungi pemakai daripada dijangkiti Covid-19.
Menurutnya, pemakaian dua pelitup itu amat bertepatan apabila berada di kawasan berisiko tinggi seperti hospital.
“Malah, kita menggalakkan petugas kesihatan di hospital memakai pelitup muka dan pelindung muka dalam memastikan diri mereka tidak dijangkiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gambarnya yang dilihat memakai dua pelitup muka ketika mengadakan lawatan lapangan di hospital Covid-19 baru-baru ini. – UTUSAN










