Situasi Selangor kritikal - Utusan Malaysia

Situasi Selangor kritikal

Strategi baharu perlu dirangka selepas proses ujian saringan didapati ditangani dengan berbeza oleh pelbagai pihak. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peningkatan kes Covid-19 yang me­rekodkan hampir 7,000 kes positif sema­lam dengan Selangor terus menjadi negeri ter­tinggi menjangkau 2,277 kes, menuntut satu pelan kontigensi Covid-19 dilaksanakan di negeri itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, antara tindakan itu ialah memobilisasikan petugas kesihatan dari klinik-klinik yang kurang pesakit untuk bertugas di Pusat Penilaian Co­vid-19 (CAC).

Menurut beliau, ini terma­suk menggerakkan petugas yang berdekatan Selangor untuk bertugas di negeri berkenaan.

“Kerajaan akan memberikan insentif khu­sus untuk mereka yang bertugas menangani kes-kes Covid-19 seperti memberikan peruntukan elaun.

“Kerjasama turut dipertingkatkan dengan Kementerian Pengajian Tinggi yang mana ada hospital universiti sudah bersetuju mobilisasi katil-katil ke tempat yang diperlukan di Selangor,” katanya di sini.

Adham berkata, ruang dan kemudahan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) turut dipertingkatkan dengan menambah kelengkapan dan katil untuk menampung jumlah kemasukan pesakit di pusat kuarantin itu.

Situasi di PKRC Maeps semakin mencabar dengan ke­masukan lebih ramai pesa­kit kategori tiga yang pada awalnya hanya mempunyai 60 katil pada awal Januari lalu.

PKRC Bersepadu itu kini menempatkan seramai 757 pesakit kategori berkenaan.

Dalam menangani situasi itu, kapasiti di pusat tersebut dipertingkatkan kepada 1,000 katil bagi menyokong sistem kesihatan di Lembah Klang selaras dengan peningkatan angka pesakit Covid-19 terkini.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan, peningkatan kes Covid-19 di Lembah Klang memaksa hospital yang dikhaskan merawat penyakit itu meningkatkan jumlah katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan mengubah fungsi wad biasa.

Katanya, tindakan terbabit terpaksa dilakukan selepas situasi Lembah Klang di tahap sangat kritikal manakala sistem penjagaan kesihatan di bawah tekanan yang amat besar.

“Lebih membimbangkan 79 peratus daripada jumlah katil ICU di hospital Covid-19 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah diperuntukkan untuk kes Covid-19.

“Jumlah kemasukan ke ICU Covid-19 termasuk yang disyaki dijangkiti di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah meningkat sebanyak 94 peratus berbanding dua minggu yang lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN