Shahida warisi resipi tepung bungkus - Utusan Malaysia

Shahida warisi resipi tepung bungkus

Shahida Mahamad Shirie (kiri) menunjukkan kuih tepung bungkus yang dijualnya pada harga RM1 di Taman Laksamana, Segamat, Johor. - UTUSAN/ FARAHWAHIDA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Tidak mustahil kuih tradisional seperti kuih tepung bungkus bakal berkubur ekoran sikap generasi kini kurang berminat untuk mempelajari cara pembuatannya.

“Sebaliknya mereka lebih berminat membuat kuih dan biskut moden walaupun kuih tradisional lebih mudah disediakan,” kata Shahida Mahamad Shirie, 36, pengusaha tunggal tepung bungkus di daerah ini, ketika ini.

Menetap di Kampung Gelang ChinChin, di sini, Shahida mengakui generasi muda beranggapan kuih tradisional rumit kerana menggunakan kaedah yang lapuk.

Shahida yang mewarisi ilmu pembuatan kuih tepung bungkus selama tiga tahun daripada ahli keluarga terdekat menjadikan kelebihan itu sebagai mata pencarian sepanjang bulan Ramadan ini.

Kuih tradisional tersebut yang dahulunya menjadi juadah pembuka selera adalah antara hidangan bekalan dibawa ketua keluarga ke dalam hutan untuk mencari rotan dan nelayan ke sungai kerana tidak mudah basi.

“Tepung bungkus masih mendapat tempahan tinggi daripada masyarakat khususnya pada bulan Ramadan kerana keenakan rasa dan aroma manisan yang dibungkus dalam daun pisang,” ujarnya ketika ditemui di gerai Ramadan di Taman Laksamana Segamat di sini, semalam.

Tepung bungkus yang dijual dengan harga hanya RM1 setiap satu tersebut turut menjadi pilihan juadah bermoreh oleh penduduk tempatan.

Bahan utama yang digunakan untuk membuat tepung bungkus adalah kelapa parut dicampur gula kabung sebagai intinya yang disalut adunan tepung gandum sebelum dikukus di dalam daun pisang.

“Saya belajar selama tiga tahun untuk membungkusnya supaya kemas dan cantik,” katanya yang berpengalaman lebih empat tahun menghasilkan juadah tradisional itu.

Tambah Shahida, dia juga mampu meraih pendapatan sehingga mencecah RM4,500 sebulan pada bulan Ramadan setiap tahun hanya dengan menjual kuih tepung bungkus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN