PUTRAJAYA: Kegelinciran sistem dengan kombinasi beberapa faktor lain yang berlaku secara serentak dipercayai menjadi punca pertembungan dua tren transit Aliran Ringan (LRT), semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Inovatif, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berkata, kepincangan secara compounding effect mencetuskan masalah besar iaitu tidak hanya bergantung kepada satu faktor kegagalan sahaja.
Beliau berkata, jika wujudnya kerosakan kepada sistem ditambah kepada kecuaian dari faktor manusia boleh mengakibatkan nahas berlaku yang disifatkan kali pertama dalam 23 tahun sejarah perkhidmatan tren di negara ini.
“Kepincangan sistem beberapa kali berlaku sebelum ini, namun ia tidak mencetuskan masalah lebih besar. Oleh itu, ada kemungkinan besar ada kombinasi beberapa faktor lain berkait dan berlaku secara serentak.
“Penyelenggaraan sistem rel di Malaysia adalah antara terbaik dunia. Sistem driverless mempunyai tahap keselamatan tertinggi kerana tidak ada pemandu untuk mengawal tren kerana ia dioperasikan melalui pusat kawalan.
“Ia mempunyai mekanisme ‘fail-safe’ yang mampu untuk memberhentikan tren, ada operator di pusat kawalan untuk membatalkan sistem tren dalam lokomatif, jadi semua itu ada prosedur operasi standard (SOP) dan mereka yang terlibat mempunyai latihan untuk mempraktikkan dalam menangani isu-isu ini,” katanya di sini semalam.
Muhammad Zaly berkata, rekod sistem keselamatan rel terutama tren antara bandar di negara ini diakui terbaik apatah lagi belum pernah berlaku sebarang kemalangan atau pertembungan sehingga mengakibatkan nahas berlaku.
Katanya, hanya insiden-insiden kecil berlaku sebelum ini seperti tayar rel terjatuh dan menghempap kereta, namun perkara itu adalah isu berasingan.
Beliau menjelaskan, isu pelanggaran seperti tren tersalah masuk trek tidak pernah berlaku kerana sistem yang dibina adalah selamat bagi mengelak kesilapan manusia atau gangguan sistem sama ada sistem teknologi maklumat (IT), elektrikal atau mekanikal.
“Jadi ia mungkin disebabkan masalah software atau disebabkan isu orang yang mengawal sistem tersebut. Bagaimanapun tanpa siasatan mendalam kita tidak boleh membuat apa-apa andaian atau kesimpulan untuk melihat isu secara keseluruhan dari segi manusia, teknikal dan mekanikal.
“Ketika ini sistem LRT menghadapi tekanan terutama ketika tempoh pandemik Covid-19 yang mana orang sangsi terhadap tahap kesihatan. Oleh itu kita tidak mahu meletakkan beban lebih berat dengan tambahan isu keselamatan pula,” katanya.
Muhammad Zaly bagaimanapun berkata, apa yang penting, sektor pengangkutan awam boleh belajar dari kesilapan untuk meningkatkan ke tahap lebih baik sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna.
Katanya, isu-isu berkenaan perlu diatasi supaya ia tidak menimbulkan keraguan kepada orang ramai untuk berhenti menggunakan pengangkutan awam dan beralih semula kepada kenderaan persendirian sedangkan kerajaan telah membelanjakan banyak duit, masa dan tenaga untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam sidang akhbar memaklumkan hasil siasatan awal oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung nahas melibatkan dua buah tren LRT adalah disebabkan kecuaian manusia.
Katanya, pengendali atau ‘hostler’ tren TR40 yang ketika itu tidak membawa penumpang, telah memandu tren tersebut secara lawan arah dan tren itu mengalami masalah time-out dan berhenti semasa menghampiri platform stesen Kampung Baru, dan kegagalan TR40 adalah disebabkan kegagalan tren untuk beroperasi secara automatik memandangkan Vehicle On Board Controller (VOBC) terhenti.
Beliau berkata, Hostler (pemandu) itu sepatutnya bergerak dari Stesen Kampung Baru ke arah selatan iaitu menuju ke Stesen Dang Wangi mengakibatkan berlaku pelanggaran tren tersebut dengan Tr81 dari arah bertentangan yang membawa 213 penumpang di lokasi antara dua stesen berkenaan mengakibatkan 47 cedera parah dan baki 166 cedera ringan.
Bagaimanapun katanya, siasatan menyeluruh akan dilaksanakan pasukan petugas khas yang ditubuhkan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak yang akan memulakan siasatan dalam tempoh dua minggu melibatkan pakar-pakar dari luar dan mereka yang ada kemahiran dalam pengoperasian LRT untuk mengenal pasti punca perlanggaran itu.
Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut mengesahkan, sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap 213 mangsa yang terlibat dalam kemalangan, manakala kos rawatan penumpang yang dimasukkan ke hospital juga ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat terbabit. – UTUSAN











