Sekatan kenderaan di lebuh raya kesan cubaan rentas negeri

Sekatan kenderaan di lebuh raya kesan cubaan rentas negeri

MOHD. Nadzri Hussain menyemak dokumen perjalanan sebuah kenderaan ketika mengadakan Op Rentas di lebuh raya di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Arah Selatan, Lebuhraya Utara Selatan, Seremban hari ini. - FOTO/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan sekatan kenderaan di lebuh raya setiap hari menerusi Op Rentas dalam usaha menyekat pergerakan rentas negeri oleh individu yang ingin pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain menjelaskan, Op Rentas tersebut telah bermula semalam dan akan berakhir pada 16 Mei hadapan dengan penglibatan anggota bahagian trafik negeri dan daerah di seluruh negara.

Jelas beliau, sekatan kenderaan di atas lebuh raya tersebut akan dilakukan di semua sektor termasuk di Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Timur Barat melibatkan 28 sektor dan lima zon.

“Sekatan di lebuh raya ini tidak dilakukan secara statik dan tetap seperti sekatan jalan raya yang pihak kontinjen buat, kita buat ada waktu-waktu tertentu di setiap sektor.

“Kami telah beri arahan di peringkat kontinjen dan daerah, Op Rentas ini setiap hari mereka akan buat, statistik kami akan ambil. Kalau ada yang cuba-cuba merentas negeri (melalui lebuh raya) pasti akan terkesan oleh kami, kerana sektor kami dari utara ke selatan dan setiap sektor ada masanya kami lakukan sekatan dan penguatkuasaan, jika ada yang cuba nasib, dia akan terperangkap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Op Rentas Zon Tengah B dan Pengenalan Peralatan Bantuan Teknik JSPT (In Car Radar & iCOPS) Kepada Media di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Arah Selatan, Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini.

Jelas Mohd. Nadzri, mana-mana individu yang dikesan melakukan kesalahan dalam sekatan tersebut akan diarahkan berpatah balik selain kompaun turut dikenakan kerana cuba merentas negeri.

Sementara itu, mengulas rungutan orang ramai berkenaan kesesakan luar biasa yang berlaku susulan sekatan di lebuh raya tersebut seperti yang berlaku di Plaza Tol Sungai Besi semalam, beliau berkata, ia ekoran pemeriksaan yang semakin ketat dilakukan oleh pihak polis.

“Memang ada kelewatan, pengguna kena terima, kita telah beri arahan kepada anggota petugas untuk menyemak surat-surat kebenaran, sebelum ini kita dapati banyak berlaku penipuan, sebab itu kita kena semak dengan sebaik mungkin.

“Kami tahu ada setiap sekatan jalan raya akan ada kesesakan tetapi saya percaya polis akan mainkan peranan terbaik dalam mengendalikan keadaan sebegitu, mungkin ketidakselesaan akan ada. Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia berbeza berbanding PKP tahun lalu yang kita tutup sepenuhnya, sekarang PKP masih dibuka dengan kenderaan petugas dan membawa keperluan harian, itu kita kena terima,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Nadzri menjelaskan, sekatan di lebuh raya selepas ini diyakini tidak akan membawa kesesakan teruk kerana arahan PKP di seluruh negara yang telah dikeluarkan semalam.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 28,000 saman telah dikeluarkan pihaknya kepada pengguna kenderaan dalam pra Op Rentas yang dijalankan bermula 3 Mei sehingga 9 Mei lalu.

Mengulas mengenai peralatan ‘In Car Radar’, beliau berkata, peralatan itu dipasang di dalam kereta peronda polis yang dapat mengesan apa juga kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana kenderaan termasuk rekod jenayah.

“Ia juga boleh merakam satu-satu kejadian yang boleh dijadikan sebagai bahan bukti selain merakam kelajuan sesuatu kenderaan untuk diambil tindakan. Ia boleh berfungsi ketika bergerak dan statik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN