PETALING JAYA: Usaha melandaikan lengkung jangkitan Covid-19 akan mengambil masa panjang ekoran kemunculan varian baharu yang dikatakan lebih agresif.
Bagaimanapun, tidak ada bukti dan data saintifik yang jelas menunjukkan varian baharu itu mempunyai kaitan dalam peningkatan kes positif harian.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pensyarah Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, peningkatan jumlah kes harian baharu adalah disebabkan oleh faktor sosial yang mana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang gagal sepenuhnya dalam kalangan rakyat.
Katanya, setiap rakyat perlu mempunyai inisiatif sendiri mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan demi mengekang penularan wabak itu.
“Kita tidak boleh buat apa-apa apabila kerajaan tidak mahu membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh kerana itu sahaja yang boleh mengekang penularan. Ini tanggungjawab rakyat.
Saya tengok di media sosial ramai yang menyalahkan kerajaan. Bukan kerajaan gagal, tetapi rakyat yang gagal.
“Kegagalan adalah kerana rakyat sendiri gagal mematuhi SOP. Rakyat bermaksud rakyat elit dan marhaen. Rakyat elit gagal menunjukkan contoh teladan yang baik manakala rakyat marhaen juga tidak memahami keperluan mematuhi SOP untuk diri sendiri dan bukannya orang lain,” katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan, Malaysia berisiko terjerumus ke krisis kesihatan terburuk dalam sejarah Covid-19 yang terus meningkat setiap hari.
Lebih membimbangkan rakyat negara ini berdepan varian baharu seperti Afrika Selatan (B.1.351), United Kingdom (B.117) dan India (B.1.617.1) yang berbahaya dan mula menjangkiti komuniti dengan pantas.
Sazaly berkata, rakyat perlu mengurangkan pergerakan di luar rumah dan memastikan tidak ada pengumpulan yang boleh menyebabkan jangkitan.
“Yang menjadi masalah adalah masih ramai yang degil, masih berkumpul. Walhal, selagi ada pengumpulan, selagi itulah akan ada penularan,” katanya.
Senada dengan beliau, Pemangku Pengarah Penyelidikan Institut Genom Malaysia, Dr. Mohd. Anuar Jonet berkata, varian-varian tersebut adalah satu benda hidup yang hanya boleh membiak dengan kehadiran sel hidup sahaja.
“Rakyat perlu mematuhi SOP untuk tidak membenarkan virus tersebut membiak kerana virus itu adalah sel tunggal yang memerlukan sel hidup dan bukannya seperti bakteria. Maka sel hidup itu adalah manusia
“Oleh itu, sekiranya kita hentikan virus tersebut untuk terus masuk ke dalam manusia, maka kita sudah hentikan penyebaran virus. Oleh itu, kepentingan sekarang adalah SOP yang perlu dipatuhi dan dipantau,” katanya. – UTUSAN










