PdPR bakal dilanjut hingga Ogos? - Utusan Malaysia

PdPR bakal dilanjut hingga Ogos?

SESI PdPR mungkin disambung sehingga Ogos ini memandangkan kes Covid-19 terus mencatat peningkatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan sewajarnya menyediakan semua keperluan dan menyelesaikan segala masalah yang berbangkit sekiranya berhasrat untuk melanjutkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga Ogos ini.

Sesi PdPR yang melibatkan 4,799,814 pelajar di se­lu­ruh negara yang dijadual berakhir pada bulan ini, mungkin tidak memberikan pilihan ke­pada kerajaan yang mahu me­ngurangkan risiko penularan Co­vid-19 yang meningkat 7,857 kes, semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, jika melihat kes jangkitan setiap hari, ia sema­kin menunjukkan peningkatan.

“Jika terus meningkat dan semakin teruk, kerajaan sebenarnya tiada pilihan selain meneruskan PdPR.

“Hanya itu yang perlu dilaksanakan bagi memastikan tidak berlaku penularan Co­vid-19 dalam kalangan murid, pelajar dan tenaga pengajar di sekolah,” katanya di sini, semalam.

Para pelajar mengikuti PdPR bermula dari 16 Mei hingga 27 Mei membabitkan sekolah dalam Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) manakala 17 Mei hingga 28 Mei (Kumpulan B).

Mereka seterusnya bercuti penggal dari 28 Mei hingga 12 Jun (Kumpulan A) dan 29 Mei hingga 13 Jun (Kumpulan B).

Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, kementerian perlu membuat ketetapan pelanjutan PdPR ke suatu tempoh tertentu sama ada dalam tempoh empat minggu atau sebulan setengah lagi mahupun dua bulan, bukannya secara berfasa dua minggu.

Katanya, dengan adanya ketetapan itu, para guru, ibu bapa dan murid dapat bersedia dan merancang lebih awal bagi persediaan menghadapi PdPR.

“Sekiranya kementerian sekejap buka sekejap tutup sebegini, murid-murid hilang momentum untuk belajar bahkan boleh menyebabkan ibu bapa berada dalam dilema untuk persediaan PdPR kerana merasakan ia hanya dijalankan dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hasan berkata, pihaknya yakin keputusan meneruskan tempoh PdPR bergantung kepada keadaan pandemik semasa.

Katanya, secara kebiasaannya, kementerian tetap meng­utamakan aspek keselamatan dan kesihatan dalam menentukan sama ada sekolah ditutup atau sebaliknya ke suatu tempoh tertentu sehingga keadaan kembali pulih.

“Kementerian juga tiada pi­lihan selain meneruskan PdPR jika sekolah tidak dapat dibuka. Bagaimanapun, ia bergantung kepada situasi pandemik. Jika mengambil kira keadaan pandemik yang semakin mening­kat, kemungkinan besar sekolah tidak dapat dibuka lebih awal serta berlanjutan sehingga Ogos atau tempoh lain.

“Jika diteruskan, maka akses internet, masalah alat peranti dan penjadualan PdPR yang lebih fleksibel antara perkara yang perlu diselesaikan oleh kerajaan demi memastikan murid-murid dapat mengikuti pembelajaran dengan baik,” katanya.

Menurut Mohd. Azizee, dengan jadual yang tidak fleksibel, subjek yang begitu banyak dan tempoh penggunaan data internet yang panjang mengganggu proses PdPR.

“Ini yang perlu diambil pertimbangan bagi memastikan mereka mengikuti PdPR de­ngan baik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN