KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Bahagian Staf Perisikan Kementerian Pertahanan berpangkat Leftenan Jeneral (B) didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima perkhidmatan dan wang tunai RM50,000 tanpa balasan, tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan, 60, didakwa di antara 21 dan 23 Jun 2020 di sebuah bilik hotel di Langkawi telah menerima satu perkhidmatan bernilai RM10,000 dan dibayar oleh seorang pengarah urusan syarikat pembekalan peralatan dan perisian ketenteraan, Syed Omar Syed Mohamad yang mana mempunyai kaitan dengan kerja-kerja rasminya.
Lelaki yang pernah terlibat dalam misi berkaitan pencerobohan dan penculikan oleh kumpulan militan diketuai Abu Sayyaf juga didakwa pada kira-kira 2.30 petang, 26 Jun 2020 di pejabatnya di Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Kementerian Pertahanan di sini telah menerima wang tunai RM50,000 tanpa balasan daripada individu sama.
Kedua-dua pertuduhan tersebut dikemukakan memgikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Siti Noor Hafizan Zakaria yang dibantu oleh pegawai pendakwa, Abd. Muntaqim Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Mohd. Shahrom Mohamad.
Menurut fakta kes, Sheikh Mokhsin menerima perkhidmatan berharga itu sewaktu mengadakan lawatan Ops Benteng di Langkawi. Perkhidmatan berharga dan wang tunai itu diterima berkaitan dengan pembelian dron.
Wang tunai tersebut dibawa ke mahkamah hari ini dan prosiding dihentikan seketika bagi membolehkan wang tersebut dikira secara manual oleh jurubahasa.
Pada 27 Oktober lalu, Sheikh Mohsin turut didakwa bersama-sama Ketua Cawangan Peperangan Siber Strategik, Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef), Kolonel Che Ahmad Idris dan penasihat ketenteraan kepada Menteri Pertahanan, Brigedier Jeneral Mohammed Feizol Anuar Ayob atas 17 pertuduhan meminta, menyetujui dan menerima suapan.
Ketika mengemukakan rayuan, Mohd. Shahrom memohon mahkamah mengambil kira rekod perkhidmatan anak guamnya yang baik dan jasanya kepada negara.
“Tertuduh pernah terlibat dengan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Iraq pada 1988 dan pernah menjadi Ketua Misi Kumpulan Pemantau Antarabangsa di Mindanao, Filipina pada 2015.
“Tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah apabila mengaku bersalah dengan rela hati tanpa sebarang paksaan dan akujanji. Dalam bulan Ramadan yang barakah dan mulia ini, kami mohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda yang ringan,”katanya.
Siti Noor Hafizan bagaimanapun membantah rayuan tersebut dan menyatakan mahkamah perlu menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh agar institusi kehakiman itu tidak dilihat seperti tidak serius dalam membendung jenayah rasuah.
“Pendakwaan juga memohon agar wang tunai RM50,000 yang dirampas dilucut hak kepada kerajaan,”katanya.
Hakim Suzana Hussin selepas mempertimbangkan rayuan dan hujah kedua-dua pihak menjatuhkan hukuman denda RM55,000 bagi pertuduhan pertama, gagal bayar enam bulan penjara manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan denda RM15,000, gagal bayar tiga bulan penjara.
Tertuduh membayar denda tersebut. – UTUSAN










