'Kepala otak dia’, ungkapan kurang ajar  - Utusan Malaysia

‘Kepala otak dia’, ungkapan kurang ajar 

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terhadap kerajaan berhubung dos vaksin Covid-19 sebagai satu tindakan menghina dan ‘kurang ajar’.

Senator Datuk Razali Idris menganggap, tuduhan Guan Eng terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak membenarkan kerajaan negeri Pulau Pinang menerima tawaran vaksin Sinovac secara percuma sebelum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebagai “satu perlakuan jenayah” adalah serius.

Menurut beliau, lebih memburukkan, ungkapan “kepala otak dia” oleh Ahli Parlimen Bagan itu dalam satu video dimuat naik di Facebook yang merujuk kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin adalah satu penghinaan kepada seorang menteri Kabinet.

“Ini satu perbuatan kurang ajar seorang pemimpin kanan parti DAP yang dilihat terlampau beremosi dan tidak boleh menerima kenyataan Khairy yang menjelaskan tawaran dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma kepada kerajaan Pulau Pinang adalah palsu.

“Malahan pemeriksaan  kerajaan mendapati syarikat yang membuat tawaran berkenaan, kononnya berpangkalan di Hong Kong, tidak wujud,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Razali menganggap Guan Eng dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow tiada  integriti serta pentadbiran yang tidak cekap jika benar berdasarkan pendedahan oleh Khairy.

“Ini bukan satu jenaka atau perkara yang perlu dipolitikkan. Saya menganggap tindakan pemimpin DAP dan kerajaan Pulau Pinang telah “rosak mentaliti” demi meraih simpati rakyat serta menuduh secara jahat kepada kerajaan PN. Malahan, pada awal pandemik Covid-19 melanda negara ini, tiada apa-apa pun pendekatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang boleh dibanggakan untuk mengekang wabak ini.

“Sehubungan itu, saya menyokong tindakan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk membuat laporan polis di atas tindakan kerajaan Pulau Pinang yang dikatakan menggunakan surat palsu untuk menuduh kerajaan PN menghalang pemberian vaksin ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya